Home Dunia Kesesakan Terusan Suez diselesaikan dalam tempoh 4 hari

Kesesakan Terusan Suez diselesaikan dalam tempoh 4 hari

KAHERAH – Kapal-kapal kembali bergerak di Terusan Suez, Mesir setelah kapal tunda berjaya mengapungkan kapal kontena besar yang telah menyekat laluan air selama hampir seminggu.
Kapal Ever Given sepanjang 400 meter (430-kaki) berjaya dialihkan, sekali gus membolehkan 113 kapal melintasi terusan di kedua arah menjelang awal pagi Selasa, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA), Osama Rabie.
Katanya, deretan 422 buah kapal yang terkandas dijangka dapat dilepaskan dalam tempoh tiga hari setengah.
Ever Given telah terkandas dalam keadaan melintang di seksyen selatan terusan tersebut, yang merupakan laluan pintas bagi kapal-kapal antara Eropah dan Asia disebabkan angin kuat pada 23 Mac lalu.
Evergreen Line, yang menyewa Ever Given memaklumkanĀ  kapal itu akan diperiksa untuk kelayakan di Great Bitter Lake, yang memisahkan dua bahagian terusan.
“Kapal itu siap untuk navigasi terhad setelah pemeriksaan awal dan tidak ada satu pun kontena yang rosak, tetapi siasatan kedua akan lebih tepat,” kata Rabie.
Pada waktu subuh pada hari Isnin, pekerja penyelamat dari SCA bekerjasama dengan pasukan dari syarikat Belanda, Smit Salvage berjaya mengembalikan kedudukan kapal tersebut.
Setelah beberapa jam ia bergerak ke seberang terusan, kapal tunda melepaskannya semasa perubahan pada air pasang, kata sumber terusan.
“Tekanan waktu untuk menyelesaikan operasi ini adalah jelas dan belum pernah terjadi sebelumnya,” kata Peter Berdowski, Ketua Pegawai Eksekutif Smit Salvage, setelah Ever Given berjaya diapung.
Syarikat itu mengatakan kira-kira 30,000 meter padu pasir telah dikeruk untuk mengapungkan semula kapal kontena seberat 224,000 tan dan sejumlah 11 kapal tunda dan dua kapal laut digunakan untuk menarik kapal itu.
Kejadian yang berlaku itu tidak menyebabkan berlaku pencemaran atau kerosakan pada kargo.
Rabie berkata, pihaknya memerlukan empat hari untuk mengembalikan trafik kepada keadaan normal.
“Kami akan berkerja siang dan malam untuk mengatasi kesesakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette