Home Ekonomi Lambakan tawaran hartanah, penyewa untung – Shylendra

Lambakan tawaran hartanah, penyewa untung – Shylendra

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tahun 2020 merupakan tahun yang lebih memihak kepada penyewa berbanding pemilik hartanah.

Kemasukan projek-projek yang telah siap dibina baharu ke dalam pasaran yang sememangnya padat telah memaksa pemilik hartanah mengurangkan kadar sewa.

Pengurus Besar iProperty.com.my, Shylendra Nathan berkata, justeru para penyewa kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merundingkan harga.

Keadaan ini dapat dilihat daripada sedikit penurunan median harga sewaan dan hasil sewaan.

Beliau yang mengulas penerbitan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewaan) 2020 iProperty.com.my berkata, walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) rendah telah mengurangkan ansuran pinjaman bulanan untuk para pemilik hartanah namun penurunan pendapatan sewa yang lebih besar ketika ini telah mengimbangi kelebihan kos pembiayaan yang lebih rendah.

Menurut analisis itu, permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur merosot 7.7% tahun ke tahun untuk semua jenis hartanah.

Salah satu punca penyusutan ini adalah pengurangan permintaan sewa untuk segmen pangsapuri yang disebabkan oleh kehilangan pekerjaan di ibu negara.

Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada 3% berbanding 3.2% separuh pertama 2020, manakala kondominium berada pada 4.1% berbanding 4.3% separuh pertama 2020.

Median harga sewaan untuk apartmen servis, yang berada pada RM2,300 separuh pertama 2020, turun kepada RM2,000 menjelang hujung 2020.

Para pengunjung hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur lebih cenderung untuk mencari rumah teres empat bilik bersaiz antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi serta kondominium bersaiz antara 1,000 hingga 1,250 kaki persegi atau sebuah unit dengan minimum tiga bilik berharga bawah RM2,300.

Menurutnya, peningkatan penyenaraian hartanah kediaman sewa mempengaruhi angka permintaan kediaman sewa negara.

Jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa ke iProperty.com.my telah meningkat memandangkan ramai pengguna memilih untuk menyewa kerana ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 walaupun jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa telah bertambah.

Namun peningkatan penyenaraian hartanah kediaman sewa telah mengatasinya, menyebabkan angka permintaan kediaman sewa negara merosot hingga12.6%.

Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada tahap +3.3% berbanding +3.4% pada separuh pertama 2020.

Median harga sewaan bagi kondominium berada pada RM1,800 berbanding RM1,900 separuh pertama 2020, manakala bagi apartmen servis pula, median harga sewaan berada pada RM1,600 berbanding RM1,700 separuh pertama 2020.

Menurut analisis itu, permintaan terhadap hartanah sewaan di Selangor susut sebanyak 10.3% tahun ke tahun pada 2020 untuk semua jenis bangunan.

Walau bagaimanapun, rumah teres mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak +2.8% menjadikan Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan positif pada 2020 disebabkan oleh penghijrahan para penyewa ke kawasan pinggir bandar bagi mencari kediaman yang lebih luas di kawasan seperti Bangi, Rawang, Kajang dan Cyberjaya.

Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,200 hingga RM2,000 dengan saiz di antara 1,500 hingga 2,500 kaki persegi.

Hulu Klang adalah kawasan di Selangor dengan kadar pertumbuhan permintaan tertinggi, iaitu peningkatan sebanyak 32% tahun ke tahun.

Sebilangan besar kunjungan adalah untuk kondominium berharga bawah RM2,000 dan bersaiz di antara 1,250 hingga 1,500 kaki persegi.

Bagaimanapun, angka permintaan sewaan bagi Pulau Pinang pada 2020 susut 18.3%.

Sebagai sebuah negeri yang mengfokuskan sektor pelancongan, ekonomi Pulau Pinang telah terjejas akibat Covid-19 walaupun situasi tersebut beransur pulih semasa musim cuti hujung tahun, memberikan sedikit kelegaan kepada industri perhotelan dan penginapan jangka pendek.

Salah satu dapatan positif adalah permintaan sewa berterusan untuk apartmen dan pangsapuri di kawasan-kawasan perindustrian di negeri itu termasuk Sungai Dua, Bayan Baru, Bukit Jambul dan Perai (di tanah besar) dalam kalangan para pekerja yang mencari kediaman mampu milik.

Sungai Dua adalah kawasan paling tinggi permintaan di Pulau Pinang dengan lebih separuh pengunjung berminat dengan pangsapuri di bawah RM1,000. Permintaan terhadap hartanah sewa di Bukit Jambul juga sangat menggalakkan kerana ramai pengunjung yang mencari rumah pangsa berharga bawah RM700 dengan saiz di antara 500 hingga 750 kaki persegi.

Pasaran hartanah kediaman sewa Johor kekal perlahan memandangkan ada banyak unit baru siap dibina yang tidak terjual, menyebabkan penyusutan kadar permintaan sebanyak -27.8% tahun ke tahun bagi semua jenis bangunan.

Selain daripada itu, penutupan sempadan Singapura dan Malaysia telah menjejaskan pasaran sewaan di Johor Bahru.

Namun begitu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada 2026 dilihat mampu meningkatkan semula permintaan hartanah kediaman sewa di Johor.

Katanya, Bandar industri Pengerang menjadi salah satu kawasan paling tinggi permintaan di Johor kerana peranannya sebagai hab minyak dan gas di selatan semenanjung Malaysia.

Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,400 hingga RM1,700 dengan saiz binaan di antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi.- MalaysiaGazette