KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunda pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik kepada September 2022.
MBM menyifatkan badan itu cuba berselindung di sebalik pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Naib Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, penundaan itu jelas bertentangan dengan komitmen yang diambil SPR sebelum ini yang telah memberi jaminan untuk pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan pada Julai 2021.
Dakwanya, SPR terlalu awal untuk ’menyerah kalah’ dengan mengumumkan penundaan sedangkan masih berbaki tiga hingga enam bulan sebelum tarikh pelaksanaan yang diumumkan sebelum ini.
”Untuk itu, MBM menuntut pihak SPR memberikan status terkini tindakan dan gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh SPR setakat Mac 2021 dan langkah-langkah yang akan diambil selanjutnya oleh SPR tanpa perlu menunggu bulan September untuk menyediakan laporan interim seperti diumumkan.
”MBM juga menyokong penuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk komponen pindaan yang boleh dilaksanakan, untuk dilaksanakan terlebih dahulu tanpa perlu menunggu komponen yang lain.
”Ini khususnya penurunan had umur pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun yang boleh dilaksanakan tanpa melibatkan penyelarasan yang rumit seperti pendaftaran pemilih automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkah berkenaan penting bagi menunjukkan komitmen kerajaan untuk menghormati kehendak Parlimen yang buat julung-julung kalinya meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan tanpa partisan dan yang paling penting sekali, kehendak sekalian rakyat Malaysia khususnya anak muda yang berumur 18 hingga 21 tahun.
MBM percaya pelaksanaan komponen Undi18 dapat dilaksanakan secara berasingan dengan pendaftaran pengundi automatik dengan segera dan tidak timbul isu pelaksanaan hendaklah dilaksanakan bersekali dan bersama kerana satu lagi komponen Undi18, iaitu had umur calon di dalam pilihan raya telahpun dilaksanakan sejak 2019, iaitu di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, katanya.
“Adalah satu perkara yang amat janggal sekiranya mereka yang berumur 18 tahun boleh menjadi calon, tetapi mereka tidak boleh mengundi. Oleh hal yang demikian, MBM mohon SPR untuk konsisten di dalam perkara ini dan tidak melaksanakan sesuatu yang menimbulkan kejanggalan seperti dinyatakan.
”MBM juga memohon kerajaan untuk menyediakan satu laporan berkenaan pelan berkaitan pendidikan demokrasi untuk anak muda khususnya di dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan tiada lagi alasan yang tidak munasabah diberikan kelak apabila Undi18 hendak dilaksanakan,” tambahnya.
Mohd Izzat berkata, MBM selaku wakil pertubuhan belia terbesar negara bersedia membantu untuk merealisasikan pendidikan demokrasi dapat disebarluas kepada semua belia di negara ini, bahkan ini sudahpun dilaksanakan MBM melalui program Sekolah Politik MBM-UMcedel dan juga program Model Parlimen Malaysia yang dirancang untuk dilaksanakan kelak.
Untuk parti politik pula, MBM menggesa agar semua parti politik khususnya sayap Pemuda masing-masing untuk terus mendesak agar Undi18 ini dapat dilaksanakan seperti dijadualkan mulai Julai 2021 dan tidak menggunakan alasan lemah untuk menafikan hak rakyat berumur 18 tahun hingga 21 tahun ini. – MalaysiaGazette