Home Nasional MEDAC bakal buka universiti berteraskan koperasi dan keusahawanan

MEDAC bakal buka universiti berteraskan koperasi dan keusahawanan

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan sebuah universiti pendidikan koperasi dan keusahawanan tidak lama lagi dalam usaha menyediakan barisan pelapis profesional untuk mengendalikan pengurusan koperasi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, institut pendidikan itu kini dalam peringkat penyediaan kertas kerja sebelum perbincangan lanjut diadakan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi.

“Institut ini akan bertindak sebagai platform bagi membentuk generasi peneraju baharu gerakan koperasi yang berpengetahuan, mempunyai kemahiran perniagaan serta keusahawanan. Ia dijangka dibuka selewat-lewatnya akhir tahun ini dan premis telahpun dikenal pasti di Cyberjaya.

“Ia diletakkan di bawah kendalian Institut Koperasi Malaysia (IKM) namun ia tidak akan mengganggu fungsi IKM sebagai satu-satunya pusat latihan koperasi di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wan Junaidi berkata, ia antara strategi kementerian dalam melakukan perubahan dan memperkasa gerakan koperasi di negara ini, yang mempunyai keahlian lebih 6.1 juta, menerusi TransKoM.

Pada masa sama, beliau yakin dengan kewujudan tenaga baharu dalam gerakan koperasi khususnya di peringkat akar umbi, gerakan itu mampu melakar kejayaan bukan hanya di peringkat serantau tetapi juga antarabangsa.

TransKoM menggariskan lima matlamat anjakan transformasi iaitu pencapaian berteraskan kesejahteraan dan kemakmuran bersama, sistem perundangan dan kawal selia yang membangun dan fasilitatif, modal insan produktif dan berilmu, model perniagaan baharu berteraskan teknologi dan pengetahuan selain sistem perancangan berasaskan bukti dan penyampaian serta pemantauan berinovasi.

Secara keseluruhan, Wan Junaidi berkata 20 langkah strategik, 36 program dan aktiviti serta 30 Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan di bawah lima bidang tujahan TransKoM dengan pelaksanaan melalui tiga fasa transformasi bermula tahun ini hingga 2025. – Bernama