ALOR SETAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan ke Arab Saudi dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perincian berhubung prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji musim ini.
Katanya, kerajaan dijangka membuat ketetapan berhubung penghantaran jemaah haji negara ke tanah suci selepas perincian SOP tersebut diselesaikan.
“Kita nak tengok (apa lagi) SOP (Arab Saudi),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Pada tahun ini pula, Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Mengulas pengambilan vaksin COVID-19 oleh bakal jemaah, Zulkifli berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan bagi tujuan itu. – MalaysiaGazette