Home Nasional Tempoh perundangan bantu pengusaha bas dilanjut sehingga Jun

Tempoh perundangan bantu pengusaha bas dilanjut sehingga Jun

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tempoh perundangan Perintah Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2021 bagi membantu pengusaha dan penyewa bas dilanjutkan sehingga Jun 2021.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pelanjutan itu dibuat atas dasar keperihatinan kerajaan dan sensitiviti kepada kesan Covid-19 terhadap golongan pengusaha bas.

Tempoh perundangan yang bermula Januari 2021 sepatutnya tamat pada Mac.

“Perundangan tersebut bertujuan untuk memberikan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian di bawah Akta Sewa Beli bagi suatu tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.

Menerusi pelanjutan itu, KPDNHEP menyarankan para pengusaha bas yang terkesan akibat Covid-19 berbicang dengan institusi kewangan atau syarikat kredit yang terlibat dalam Perjanjian Sewa Beli untuk mengetahui kelayakan moratorium, penstrukturan semula pembayaran ataupun penyusunan semula pembiayaan pinjaman kenderaan.

Ia bagi mengelak pemilikan semula kenderaan berlaku apabila pembayaran ansuran tidak dibuat, ujarnya.

Dalam masa yang sama, para pengusaha bas juga disarankan membuat rujukan di Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan untuk membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berkait dengan ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual.

“PMC-19 ini dapat membantu golongan B40 dan M40 serta PKS dalam kategori mikro dan kecil dengan memberi subsidi bagi kos proses mediasi,” tambah KPDNHEP. – MalaysiaGazette