Home Pendapat Titisan yang tidak ternilai

Titisan yang tidak ternilai

Seorang jururawat memeriksa darah penderma pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2019

MUSIM pandemik ini menyaksikan keperluan darah meningkat, bukan sahaja dalam kes-kes biasa seperti kelahiran dan kemalangan, malah bagi kes kecemasan, pembedahan dan
perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyekat perjalanan penderma darah serta program menderma darah yang biasanya dilaksanakan di premis-premis perniagaan.

Darah merupakan salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan manusia. Di dalam badan manusia, darah mempunyai pelbagai fungsi termasuklah membawa oksigen dari paru-
paru ke seluruh badan manusia untuk pelbagai proses fisiologi seterusnya membawa karbon monoksida hasil daripada perkumuhan daripada sel tubuh ke paru-paru untuk dihembuskan
keluar. Darah juga berfungsi membekalkan sel dengan nutrien, mengangkut hormon dan membawa hasil perkumuhan daripada hati, ginjal dan usus.

Selain daripada itu, darah juga mengandungi plasma yang membantu menentu ukur suhu badan dengan cara menyerap atau membebaskan haba serta memastikan peredaran darah
berlaku dengan optimum. Salur darah akan mengembang sewaktu suhu badan meingkat supaya darah beredar dengan perlahan, membolehkan haba dilepaskan ke permukaan tubuh.

Salur darah juga boleh mengecut sekiranya suhu badan menurun bagi mengurangkan perlepasan haba ke persekitaran. Selain suhu, darah juga mengandungi pH yang dikawal rapi
agar sentiasa sesuai dengan keperluan tubuh badan.

Komponen darah seperti platelet dan bahan-bahan yang larut di dalam plasma turut memainkan peranan yang penting. Sekiranya berlaku kecederaan kepada salur darah, komponen ini akan bergumpal membentuk suatu ketulan yang menyumbat ‘lubang’
berkenaan sekaligus mengelakkan pendarahan daripada berterusan. Sel darah putih dan sebahagian daripada bahan kimia turut memainkan peranan yang penting di dalam sistem
pertahanan badan.

Sel-sel darah orang dewasa kebanyakannya dihasilkan daripada sel stem yang terdapat di dalam sum-sum tulang. Daripada sel stem tersebut ia menghasilkan sama ada sel-sel darah
atau sel platelet mengikut ketetapan. Sebahagian daripada sel darah putih seperti limfosit tidak hanya mengalami kematangan di dalam sum-sum tulang, malah terdapat sebahagian
yang mengalami proses kematangan di dalam noda limfa.

Darah dan komponennya merupakan antara modaliti rawatan yang penting. Keperluan penggunaan darah dan komponennya semakin meningkat terutamanya dalam pembedahan
jantung, pemindahan organ, pengurusan penyakit seperti thalasemia, haemofilia dan anemia yang memerlukan pemindahan darah dilaksanakan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mensasarkan 5 peratus daripada rakyat Malaysia untuk menjadi penderma darah dan walaupun angka tersebut masih belum dicapai, bilangan penderma darah semakin
meningkat.

Terdapat dua jenis pendermaan darah iaitu pendermaan darah penuh dan pendermaan darah aferesis. Pendermaan darah penuh atau lebih dikenali sebagai whole blood donation adalah
jenis pendermaan yang biasa dijalankan. Darah yang didermakan akan diproses dan dipek mengikut komponennya iaitu plasma, platelet dan sel darah merah.

Isipadu darah yang diambil adalah bergantung kepada berat badan penderma, iaitu di antara 350ml sehingga 450ml. Penderma darah penuh boleh menderma setiap tiga bulan sekali bagi membolehkan sel-sel darah dihasilkan semula tanpa menjejaskan kesihatan penderma.

Pendermaan aferesis pula ialah pendermaan plasma atau platelet, atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis. Oleh kerana sel darah merah penderma tidak diambil, penderma boleh menderma dengan lebih kerap, iaitu setiap dua minggu sekali.

Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum mendaftarkan diri sebagai penderma darah seperti berusia di antara 18 hingga 60 tahun, berat badan melebihi 45kg, sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik, tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan minuman beralkohol sebelum hari pendermaan, tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang cukup (melebihi 5 jam) sebelum menderma darah dan menetap di Malaysia sekurang-kurangnya setahun bagi yang bukan warganegara Malaysia.

Penderma aferesis pula mempunyai beberapa kriteria tambahan iaitu berumur tidak melebihi 55 tahun, mempunyai berat badan 55kg dan ke atas serta telah menderma darah penuh
sekurang-kurangnya dua kali dan pendermaan terakhir tidak lebih daripada enam bulan dan mempunyai salur darah yang sesuai.

Walau bagaimanapun, pegawai perubatan atau jururawat
yang bertugas akan menentukan kelayakan seseorang untuk menderma darah. Ianya dilakukan bagi memastikan proses pendermaan tidak akan memudaratkan penderma darah
dan darah yang didermakan tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Disebabkan itulah pihak tabung darah terpaksa menjalankan prosedur yang ketat
dalam pemilihan penderma.

Setiap unit darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa, dan disebabkan setiap pek komponen darah mempunyai jangka hayat yang tertentu. Jadi penting bagi bekalan yang berterusan diperolehi untuk memastikan segala rawatan yang berkaitan dengan penggunaan komponen darah dapat dijalankan dengan baik.

Disebabkan faktor kepentingan dan keperluan darah dalam kehidupan manusia dan permintaan yang melebihi bekalan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia turut memutuskan bahawa pendermaan darah itu hukumnya harus, darah orang Islam tidak perlu diasingkan daripada darah orang bukan Islam, penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan.

Bahkan dalam konteks keadaan di zaman sekarang yang mana kemajuan teknologi telah mampu menyediakan rawatan bagi banyak penyakit dengan menggunakan komponen darah ini,
pendermaan darah adalah digalakkan seiring dengan firman Allah di dalam surah al-Ma’idah Ayat 32 yang bermaksud, “dan sesiapa yangmenjaga keselamatan hidup seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

Oleh itu, marilah kita sama-sama menghulurkan tangan berkongsi sedikit daripada anugerah yang berharga ini demi kesejahteraan sejagat terutamanya sebelum bulan Ramadhan yang bakal menjelma ini kerana walaupun fatwa daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa menderma darah ini hukumnya harus ketika sedang berpuasa, ia boleh jatuh kepada makruh sekiranya mendatangkan mudarat kepada penderma.

Oleh itu, lebih baik kita bersedia dengan menderma darah sebelum datangnya bulan Ramadhan supaya bekalan
darah negara tidak terjejas.

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) &

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM