Home Politik UMNO jangan baling batu sembunyi tangan – Sivarraajh

UMNO jangan baling batu sembunyi tangan – Sivarraajh

Datuk C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC mahu agar UMNO belajar menghormati rakan-rakan komponennya.

Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh berkata, pemimpin UMNO harus berhenti menggunakan kaedah ‘baling batu sembunyi tangan’ dengan menghantar orang bawahan untuk membuat provokasi.

“Jika kamu tidak berpuas hati dengan MIC, anda boleh cakap terus terang dengan kami. Tidak perlu hantar wakil bercakap tentang perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal Majlis Tertinggi BN, lebih-lebih lagi soal Parlimen Sungai Siput yang
merupakan kerusi tradisi Presiden MIC.

“Jangan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN diam seribu bahasa, tapi di luar hantar orang buat kerja-kerja yang memalukan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu mengulas mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sungai Siput, Norazura Abdul Karim yang berkata MIC perlu memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi kawasan parlimen mereka.

Norazura berkata demikian susulan kegagalan parti pimpinan Tan Sri S A Vigneswaran untuk merampas kerusi Sungai Siput di Perak yang pernah dianggap kubu kuat MIC bagi tiga pilihan raya umum berturut-turut.

Sivarraajh dalam pada itu memberikan amaran kepada UMNO agar tidak terlalu angkuh membuat kenyataan mengenai kerusi yang ditandingi oleh MIC.

“Berhenti dulu perangai hendak meminta semua kerusi untuk dibertanding seolah-olah kamu boleh menang semua tempat. Kepimpinan tertinggi UMNO perlu belajar hormat rakan-rakan komponen.

“MIC dan MCA setia bersama UMNO dalam BN sejak penubuhan lagi. MIC mahu pun MCA tidak pernah lari daripada UMNO atau BN sewaktu susah.

“Susah atau senang, MIC dan MCA tetap bersama BN. Apa yang pimpinan UMNO ini susah sangat faham soal hormat-menghormati antara rakan-rakan komponen?” soalnya.

Mengulas lanjut, Sivarraajh turut mempersoalkan mengapa segala isu mengenai kerusi-kerusi di bawah BN tidak dibawa berbincang di peringkat Majlis Tertinggi BN.

“Kenapa tak berani berbincang soal perkara-perkara ini dalam Majlis Tertinggi BN? Kamu mahu BN bersama kamu.

“Bukan main lagi puji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung UMNO baru-baru ini di atas kesetiaan dan sebagainya tapi tak sampai dua hari kemudian, kamu hendak “tikam” rakan komponen sebegini?

“Selesai dulu masalah dalaman kamu sebelum kamu hendak campur tangan dalam hal ehwal rakan komponen,” tegasnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Satu ko ni tak sedar diri..sebab MIC tak menang mana2 kerusi majoriti India…semua kerusi Melayu dan penyokong UMNO. Yg ke dua…ko ni bebal..yg tu pandangan sorang ahli dari Sg Siput..yg ko nak seran Majlis Tertinggi BN apa hal? Bebal punya org ..

  2. Umno mmg tk sedaq diri dari dulu lagi…
    Depa ambik org yg bermasalah memimpin parti yg sdg dilanda dgn berbagai masalah. Masalah dia sendiri pun tk boleh selesai lagi mcmna dia nk selesaikan masalah umno… Makin melingkop la.
    PRU13 dah pun ditunjuk bunga² umno nk melingkop tu, tapi masih tk sedaq diri jgk.. Akhirnya mai PRU14 lingkop terus. Tu pun masih tk sedaq jgk. Masing² dh kembali kpd sifat ego, tamak haloba lagi..

  3. zaman dah berubah, politik dah berubah, yang tak berubah ialah UMNO…moga MIC & MCA tinggalkan UMNO sebagai pengajaran

Comments are closed.