Home Utama Bersatu tak tarik sokongan daripada UMNO Johor – Muhyiddin

Bersatu tak tarik sokongan daripada UMNO Johor – Muhyiddin

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Johor di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2021.

PUTRAJAYA – “Demi menjaga maslahah masyarakat di Johor, kita akan terus bersama-sama. Itu janji kita, bukan untuk UMNO tapi untuk negeri Johor.”

Itu kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor.

Menurutnya, Bersatu di Johor lebih mementingkan soal negara, negeri dan juga rakyat supaya tidak timbul sebarang pergolakan di kemudian hari.

“Setakat hari ini kita tidak ada apa-apa lagi keputusan yang kita nak buat kerana apa yang penting dari sudut Bersatu memikirkan soal negara, negeri dan soal rakyat supaya tidak akan timbul soal pergolakan yang nanti akan membawa kesan buruk kepada negeri dan juga di peringkat negara.

“Sebab itu di peringkat negara saya pun dengan rakan-rakan kabinet UMNO telah putuskan kita akan terus kekal bersama baik menteri atau pun timbalan menteri.

“Jadi untuk Johor kita akan kekalkan itu, cuma harapan kita supaya berlaku adillah kepada Bersatu kerana ada rungutan tentang pembahagian jawatan ketua-ketua kampung yang dibuat secara tidak dirundingkan dengan betul, ini telah membangkitkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan Bersatu Johor akan menarik sokongan daripada menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad susulan ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad lalu.

Terdahulu Muhyiddi mempengerusikan mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Johor di sebuah hotel di sini hari ini.

Mesyuarat Bersatu Johor selesai sekitar pukul 5 petang sebelum disusuli dengan mesyuarat PN Johor sehingga pukul 6.50 petang.

Sebelum itu, Hasni ketika berucap pada PAU 2020 berkata, UMNO Johor perlu diberi autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya di negeri itu.

Hasni dilaporkan berkata, biar pun UMNO Johor sebelum ini bercadang memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh namun sokongan terhadap Perdana Menteri itu jauh lebih rendah berbanding sokongan terhadap UMNO.

Antara yang turut hadir pada mesyuarat hari ini, Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim, Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong yang juga Setiausaha Bersatu Johor, Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dulu, masa kudeta sheraton, tak pulak kau fikir maslahah rakyat. Sampai hari ini politik negara jadi huru-hara.

  2. Ko nak tarik kaa…ko tak nak tarik kaa…ada UMNO kisah ke?? Tu jgn lupa kata2 Dr. Latif Ahmad yg menghina UMNO Johor tu, ko ingat UMNO dah lupa?? Dan jgn lupa kerusi Mersing tu kerusi UMNO yg dikhianati oleh si katak Latif tu..kalau ko betul2 gentleman, pulang kan balik kerusi tu kepada UMNO..jgn nak berdrama laaa…perpaduan ummah kunun! kerusi UMNO ko rembat..lg mau banyak songel

Comments are closed.