KUALA LUMPUR – Pelan transformasi strategik FGV Holdings Bhd yang berterusan telah menempatkannya di landasan wajar dan berpotensi muncul sebagai sebuah syarikat hebat dengan barisan pimpinan yang tepat, kata Pengerusi, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.
Beliau yang akan melepaskan jawatan itu pada 1 April 2021 selepas berkhidmat selama tiga setengah tahun, berkata pelan itu penting bagi memastikan syarikat perladangan tersebut mempunyai asas pendapatan yang lebih kukuh serta pelbagai.
Malah, ini juga membolehkan FGV beralih daripada pergantungan hampir sepenuhnya terhadap minyak sawit dan harga minyak sawit mentah yang tidak menentu.
“Kita perlu berusaha merebut peluang dalam pasaran domestik serta berani memanfaatkan potensi besar dalam ekonomi kita sendiri.
“Usaha pemulihan operasi itu juga telah memberi lonjakan penting bagi membantu syarikat melancarkan perancangan baharu yang pada akhirnya dapat mengimbangi bayaran tahunan sebanyak RM248 juta kepada FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang tidak pernah gagal kita lakukan di bawah perjanjian pajakan tanah,” katanya dalam pesanan perpisahan kepada para pemegang saham pada Rabu.
Jelas Azhar, strategi FGV bagi memenuhi permintaan domestik dengan beralih kepada pertanian bersepadu dan tanaman alternatif, juga berteraskan sinergi sedia ada.
Ini berikutan FGV mempunyai tanah serta kemahiran untuk berkembang dan melangkaui minyak sawit serta getah dalam lingkungan sektor pertanian.
“Permintaan domestik bagi barangan makanan seperti tenusu dan buah-buahan di peringkat nasional telah menyumbang kepada perbelanjaan import makanan tahunan yang mencecah kira-kira RM51.46 bilion.
“Oleh itu, kita sedar bahawa peluang bagi bidang alternatif import itu adalah luas,” katanya.
Menurut Azhar, FGV turut menyasarkan sektor baharu itu dapat menyumbang sebanyak RM1.7 bilion kepada perolehan hasil menjelang 2025.
“Biarpun potensi pertumbuhan sektor ini ketara, kejayaannya masih belum dijamin sekiranya tidak memberi tumpuan terhadap aspek di lapangan, pengedaran serta pemasaran produk-produk berkaitan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata FGV juga menyasarkan perolehan hasil kira-kira RM14 juta daripada penjualan tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd susulan usaha sama dalam sumber tenaga boleh diperbaharui menerusi penghasilan metana di kilang-kilang penapisannya.
Beliau berkata, biarpun kebanyakan projek-projek tersebut masih di peringkat awal dirangka atau dilaksanakan, ia dapat memberi asas pendapatan yang lebih pelbagai bagi FGV.
“Saya gembira dapat meninggalkan FGV dalam kedudukan kewangan dan operasi yang lebih baik dengan barisan pengurusan yang kukuh.
“Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan serta dicapai. Oleh itu saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengerusi baharu, Datuk Dzulkifli Abd Wahab serta semua rakan-rakan di FGV,” kata beliau.- BERNAMA