Home Nasional Kartel polis: Segera gubal intipati IPCMC – Suhakam

Kartel polis: Segera gubal intipati IPCMC – Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2005.

Penubuhan badan bebas ini akan terus meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam kalangan polis, menyediakan perlindungan daripada salah laku dan salah guna kuasa serta mengembalikan keyakinan dan penghormatan rakyat kepada agensi penguatkuasaan.

Oleh itu, Suhakam berharap penubuhan IPCC ini tidak lagi ditangguhkan.

Gesaan itu dibuat susulan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendakwa wujudnya wujudnya rasuah dan salah guna kuasa serius dalam kalangan pegawai polis, termasuk kewujudan kartel di dalam dalam PDRM.

Lantaran itu, Suhakam berkata, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan sama ada wujud kebenaran di sebalik dakwaan ini.

Sekiranya ia benar, tindakan yang tegas perlu diambil bagi menghentikan amalan sebegini dalam kalangan pasukan polis.

”Amalan tidak amanah, tidak beretika dan tidak mematuhi undang-undang akan membawa kesan negatif terhadap kebebasan asasi masyarakat Malaysia secara amnya,” katanya dalam kenyataan ini.

Suhakam menekankan bahawa proses semakan oleh mekanisma pengawasan bebas dan/atau Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang telus dan bebas daripada penglibatan politik dalam apa juga bentuk amat penting bagi memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pasukan polis. – MalaysiaGazette