ALOR SETAR – Kerajaan Kedah tetap mengharapkan caj bekalan air mentah dikenakan terhadap Pulau Pinang, walaupun isu itu dibawa ke peringkat pusat.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata setiap projek pembangunan yang dirancang khususnya di kawasan Sungai Muda juga akan tetap diteruskan demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Atas apa alasan sekalipun, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj untuk menstabilkan paras air untuk pertanian dan bekalan minuman rakyat Kedah (akan diteruskan), itu yang menjadi keutamaan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow Sabtu lepas, yang menyarankan agar kerajaan Persekutuan campur tangan bagi mengatasi kemelut berkaitan caj bekalan air yang berlaku antara negeri itu dan Kedah.
Muhammad Sanusi berkata kepentingan dan keperluan bekalan air mentah untuk Pulau Pinang dari sumber Sungai Muda hanya akan diambil kira setelah negeri itu bersedia untuk membayar tuntutan daripada kerajaan Kedah.
Muhammad Sanusi ketika mengumumkan projek itu berkata Pulau Pinang perlu bersedia kerana setelah pembinaan TAPS siap, ia mungkin akan memberi kesan kepada bekalan air ke Pulau Pinang, jika kerajaan negeri itu masih enggan membayar caj air mentah.
— BERNAMA