Home Ekonomi Ativa pacu jualan Perodua suku pertama tahun ini

Ativa pacu jualan Perodua suku pertama tahun ini

Ativa keluaran Perodua.

KUALA LUMPUR – Perodua menganggarkan jualan sebanyak 57,911 kenderaan dalam suku pertama 2021 (1Q21), kenaikan 29% berbanding 44,977 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kenaikan ini dipacu oleh peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan bagi semua modelnya, terutama sekali Perodua Ativa yang baru dilancarkan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19 Februari lalu,” katanya di sini.

Menurut beliau, pendaftaran Perodua melonjak 47.3% kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021.

Daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu dan seperti yang dijangkakan, 67% daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

”Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac,” tambahnya yang menyifatkan Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh selepas berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama.

Dari segi pengeluaran, Zainal berkata, Perodua telah menghasilkan 60,383 kenderaan pada suku pertama tahun ini, kenaikan 23% berbanding 49,280 unit yang dihasilkan pada suku pertama tahun lalu.

”Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan yang berbeza-beza kepada setiap pengeluar kenderaan pada skala global.

”Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya.

Walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

Sasaran jualan tahun 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020 dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini. – MalaysiaGazette