Home Ekonomi Jangkaan pertumbuhan KDNK oleh Bank Negara seiring Bank Dunia, IMF

Jangkaan pertumbuhan KDNK oleh Bank Negara seiring Bank Dunia, IMF

Finance Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 14 NOVEMBER 2020 i-Sinar without criteria application EPF Employees Provident Fund
Tengku Zafrul Abdul Aziz. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 14 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) pada kadar 6.0 hingga 7.5 peratus oleh Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 Bank Negara Malaysia (BNM) adalah selaras dengan anggaran Bank Dunia (6.0%) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (6.5%).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kedua-duanya mengunjurkan Malaysia bakal mencapai salah satu kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.

Menurutnya, sentimen positif turut dicerminkan dari pengesahan penarafan hutang Malaysia pada A3 oleh Moody’s dan juga pengekalan Malaysia di dalam World Government Bond Index (WGBI) yang diterbitkan oleh FTSE Russell, seperti yang dilaporkan di dalam Fixed Income Country Classification Announcement for March 2021.

”Yang lebih utama, ekonomi diunjurkan untuk kembali ke tahap pra-pandemik 2019 seawal pertengahan 2021, disokong oleh, antara lainnya, peningkatan permintaan luaran berikutan peningkatan penggunaan teknologi, langkah pembendungan Covid-19 yang lebih bersasar, pelaksanaan pelan vaksinasi Covid-19 yang kemas dan tersusun, pemulihan keadaan pasaran buruh secara beransur-ansur, pengeluaran sektor pembuatan dan komoditi yang lebih tinggi serta kesinambungan projek infrastruktur awam seperti MRT2, LRT3 dan JENDELA,” katanya dalam Laporan Laksana ke-47.

Mengenai pengekalan dan penjanaan pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan laporan pemantauan Agensi Laksana, sasaran pewujudan 500,000 peluang pekerjaan semakin hampir dicapai menerusi inisiatif-inisiatif yang dipantau oleh Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

PenjanaKerjaya 2.0, Short-Term Employment Programme (MySTEP) dan Global Online Workforce (GLOW) adalah tiga penyumbang untuk mencapai sasaran di atas.

Inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 menerima peruntukan berjumlah RM2 bilion daripada kerajaan bagi menyediakan peluang kerjaya kepada 250,000 pencari kerja, di samping menawarkan insentif-insentif tertentu bergantung pada kategori pekerjaan.

Tambah beliau, insentif yang diberikan turut memanfaatkan pekerja di bawah usia 40 tahun, golongan OKU, penganggur jangka panjang malah pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

Kesemua insentif itu bertempoh enam bulan.

Di bawah PenjanaKerjaya, majikan boleh menuntut kos RM7,000 maksimum untuk program latihan yang diberikan keada pekerja yang diserap menerusi skim ini. – MalaysiaGazette