KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Pejuang.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan tersebut selepas Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Sabri Othman yang mewakili kedua-dua responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) memaklumkan perkara itu.
“Saya rekodkan tiada bantahan daripada AGC berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman dan tiada perintah kos untuk kes ini,” kata hakim itu.
Terdahulu, ditanya Ahmad Kamal, sama ada menteri berkenaan telah membuat keputusan (berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftarkan parti) kerana jika ada keputusan dibuat, permohonan semakan kehakiman akan menjadi akademik, Mohd Sabri menjawab: “Setakat ini belum ada keputusan disampaikan kepada AGC membabitkan rayuan berkenaan.”
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Pejuang selaku pemohon pula berkata, pihaknya telah memfailkan sijil perakuan segera supaya kes tersebut didengar secepat mungkin.
Ahmad Kamal menetapkan 15 April ini untuk pengurusan kes selanjutnya. Mahkamah akan menetapkan tarikh seterusnya untuk mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman.
Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu.
Pada 1 Mac lepas, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Januari lepas berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajipan statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelanggaran kewajipan statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti Pejuang itu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak berperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logonya sendiri.
Media pada 2 Februari lalu melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.
Hamzah pula dilaporkan berkata, permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lepas berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. – Bernama