Home Nasional Pengecualian cukai jualan untungkan bank, syarikat kereta – Najib

Pengecualian cukai jualan untungkan bank, syarikat kereta – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan kereta sehingga akhir bulan Jun tahun ini didakwa lebih menguntungkan syarikat kereta, bank dan golongan kaya berbanding rakyat biasa.

Ini kerana golongan yang kaya akan menerima diskaun lebih besar untuk membeli kereta mewah memandangkan lebih mahal kereta, lebih besar manfaat kepada orang kaya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, jika hendak memberi pengecualian, jangan beri secara pukal.

Sebaliknya, berilah kepada mereka yang tidak pernah membeli dan mendaftar kereta baharu sejak lima tahun lepas dan bukan melibatkan kereta-kereta mewah.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, kerajaan sewajarnya mengutamakan pengangkutan awam kerana kesesakan jalan raya.

Jangan juga menggalakkan rakyat sering bertukar kereta dan menambah hutang kepada bank.

Lagi pun, katanya, kerajaan juga akan rugi sebanyak RM5 bilion daripada pengecualian cukai jualan kereta.

”Ini bermakna kerajaan akan kurang RM5 bilion untuk diberi sebagai bantuan prihatin kepada golongan B40 dan M40 yang lebih memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib mengulas laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai lonjakan nisbah bebanan hutang isi rumah sekarang pada kadar 93.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Angka itu merupakan satu kenaikan besar berbanding paras 82% pada tahun 2017 sebelum PRU-14.

Menurut BNM, kenaikan ini akibat dasar pengecualian cukai untuk penjualan kereta dan juga pelbagai pengecualian yang diberi bagi promosi pembelian rumah yang banyak meningkatkan pinjaman baharu.

”Saya faham ramai tak bersabar menjimat sedikit untuk membeli kereta baru tetapi kebimbangan saya ialah nisbah hutang isi rumah kepada KDNK yang meningkat semula selepas PRU-14 dan sudah cecah 90% seperti dikatakan Gabenor BNM bulan lepas.

”Ini adalah kadar yang amat tinggi dan nisbah yang tinggi ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara disamping menambah tekanan kewangan bulanan ke atas isi rumah bagi tahun-tahun mendatang,” tambahnya.

Jika hutang isi rumah tinggi maka kurangnya lebihan wang untuk berbelanja, menyimpan atau melabur setiap bulan sebab kena bayar ansuran bank, sekali gus memberi impak negatif kepada ekonomi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Menurutnya, Pakatan Harapan pernah membuat tindakan seumpama itu apabila memberi tax holiday selama tiga bulan pada tahun 2018.

Akibatnya, ekonomi menjadi lebih lemah pada tahun 2019 sebab ramai isi rumah sudah kurang wang untuk berbelanja setelah menambah kepada hutang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kurang kurangnya jualan kereta bagus. Jika jualan bagus, kilang tak perlu tutup. Jd pekerja kilang kenderaan, vendor2 parts, stesen petrol, kedai repair keta, kedai tayar, bengkel2 suma tak yah buang pekerja. Yg bekerja kilang2 dan bengkel2 ni bukan org org kaya yang beli kereta mewah tu. Org org B40 jugak. Semua ada manfaat juga. Jgn pejam sebelah mata demi nak condemn org lain xbetul.

Comments are closed.