Home Nasional PIK bantu orang awam, warga emas daftar penerima vaksin Covid-19 – MCMC

PIK bantu orang awam, warga emas daftar penerima vaksin Covid-19 – MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika menerima emel yang menggunakan profil pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara telah dimobilisasikan sebagai pusat bantuan.

Ia adalah sebagai salah satu usaha membantu orang awam, termasuk warga emas, yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kakitangan PIK yang bertugas sepenuh masa di pusat itu akan membantu melicinkan proses pendaftaran.

Jelasnya, terdapat juga paparan poster di PIK mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 melalui MySejahtera bagi memaklumkan orang awam.

Menerusi usaha tersebut, ia diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya proses vaksinasi dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19, ujarnya.

Bagi orang ramai yang masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, mereka boleh manfaatkan kemudahan yang disediakan di PIK oleh MCMC untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh menghubungi PIK berdekatan. – MalaysiaGazette