Home Utama Tidak ada usul dalam PAU 2020 arah Menteri letak jawatan

Tidak ada usul dalam PAU 2020 arah Menteri letak jawatan

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di Hotel Intercontinetal, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak ada keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang mengarahkan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Exco, Pengerusi  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar menarik diri daripada jawatan yang dipegang dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, ini kerana dalam PAU usul yang diluluskan adalah usul yang mengesahkan keputusan Majlis Kerja Tinggi iaitu terus kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Itulah usul yang diterima dalam PAU2020 dan isu adalah jelas iaitu usul kedua dengan menyokong kerajaan yang pada hari ini sehingga PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan apabila Parlimen dibubar tidak ada kerjasama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang berkata, semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.

Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

Diminta mengulas kenyataan veteran UMNO yang merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang melabelkan menteri-menteri UMNO yang enggan meletak jawatan sebagai ‘pengecut’, Ismail berkata, semua ahli UMNO bebas bersuara dan tiada sekatan untuk mengeluarkan pandangan masing-masing. – MalaysiaGazette

+ posts