SYDNEY – Seorang atlet kayak Olimpik Australia dan abangnya didapati bersalah kerana cuba menyeludup kokain bernilai A$ 200 juta (AS$152 juta) ke negara ini.
Nathan Baggaley dan Dru Baggaley yang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut akan dijatuhkan hukuman akhir bulan ini.
Dru dan seorang lelaki lain ditangkap pada tahun 2018 setelah polis terlibat dalama aksi kejar-mengejar dramatik di laut yang turut melibatkan tentera laut dan udara.
Dru dan lelaki lain, Anthony Draper, didakwa melakukan perjalanan selama 11 jam pada bulan Jun 2018 untuk bertemu dengan sebuah kapal asing yang membawa dadah.
Namun, kelihat mereka diawasi oleh pesawat pengawasan dan diikuti oleh kapal angkatan laut.
Ada gambar yang merakamkan Dru membuang bungkusan kokain ke laut sementara Draper cuba melarikan diri dari kapal tersebut.
Mereka kemudian dikejar oleh bot polis Queensland di luar perairan lepas pantai dan ditangkap oleh pegawai bersenjata.
Dru mendakwa, dia datang untuk mengambil tembakau dan bukan kokain.
Malah, Dru mendakwa dia diculik oleh Draper dan membawanya berlayar.
Tambah Dru, Draper juga telah mengancam keluarganya jika dia tidak membantu lelaki itu.
Namun, Draper mendakwa dia direkrut oleh Dru untuk mengemudi kapal dan mendakwa dia diberitahu bahawa mereka mengambil “smoko” yang dia anggap adalah ganja.
Draper mengaku bersalah mengimport kokain awal tahun ini tetapi hukumannya dikurangkan kerana memberi keterangan terhadap dua beradik Baggaley.
Bagaimanapun, pendakwa raya berkata, Nathan, pemenang dua pingat perak di Olimpik Athens – terlibat dalam rancangan itu.
Nathan telah membeli kapal itu dan memasangnya dengan telefon satelit dan sistem navigasi.
Tetapi dia memberitahu mahkamah bahawa kapal itu dibeli dengan wang yang diberikan kepadanya oleh Dru dan diberitahu kapal itu akan digunakan untuk memulai perniagaan menonton ikan paus, lapor ABC News.
Namun, cap jarinya telah ditemui pada pita yang digunakan untuk menyembunyikan nombor pendaftaran kapal.
Ini bukan kali pertama dua adik-beradik itu didakwa melakukan kesalahan dadah.
Mereka sebelumnya telah disabitkan kesalahan dalam kumpulan pembuatan ubat tablet halusinogenik.
Kedua-duanya juga disabitkan kesalahan pada tahun 2009 atas tuduhan dadah lain.
Menurut ABC News, jika didapati bersalah, mereka berdua akan menjalani hukuman penjara seumur hidup. – MalaysiaGazette