Home Pendapat Derma organ satu jariah

Derma organ satu jariah

Gambar hiasan

PENDERMAAN organ bukanlah perkara yang asing di negara kita. Namun, masih ramai di kalangan kita walaupun petugas kesihatan masih tidak berikrar sebagai penderma organ. Masih ramai pesakit-pesakit yang memerlukan organ sebagai langkah terakhir bagi rawatan penyakit mereka menunggu seperti buah yang tidak jatuh. Malaysia adalah negara yang mempunyai bilangan pengikrar derma organ yang paling sedikit dan etnik Melayu menduduki tempat terendah berbanding etnik yang lain. Mengapa ini berlaku?

Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau tranplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi organ, seseorang dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik. Penderma organ boleh dibahagikan kepada live donor (mereka yang masih hidup) dan deceased donor (mereka yang baru meninggal dunia kerana penyakit atau kemalangan).

Bagi live donor sama ada yang hidup sihat ataupun pesakit yang mengalami brain death. Brain death adalah pesakit yang hidup dengan alat bantuan pernafasan dan ubatan untuk jantung dan paru-parunya berfungsi serta tidak sedarkan diri dan tiada respon kepada rangsangan luar. Beberapa kriteria hendaklah dipenuhi untuk memastikan pesakit brain death iaitu kehilangan reflex batang otak (brainstem), tiada respon paru-paru terhadap peningkatan karbon dioksida dan kehilangan aliran darah ke bahagian otak.

Brain death boleh disebabkan sama ada kecederaan otak yang teruk, jangkitan kuman atau kanser yang merebak. Walau bagaimanapun brain death disebabkan oleh kecederaan otak akibat kemalangan adalah penderma organ yang paling sesuai kerana mereka biasanya terdiri daripada orang muda dan sihat, bermakna organ mereka berada dalam keadaan optimum.

Malangnya apabila ada calon untuk pendermaan organ, semasa kebenaran diminta daripada ahli keluarga dengan segera mereka akan menolak walaupun pesakit tersebut telah berikrar sebagai penderma organ. Bagi organ yang memang dijadikan Allah berpasangan seperti buah pinggang atau ada kebolehan untuk membahagi seperti hati (liver) bolehlah didermakan oleh mereka yang masih hidup.

Biasanya oleh ahli keluarga pesakit untuk mengelakkan masalah penolakan (rejection) yang boleh membahayakan penerima organ. Adalah lumrah untuk seorang yang
sihat untuk mengelak atau takut untuk merelakan diri mereka dibedah dengan pelbagai risiko.

Selain daripada itu , organ untuk pendermaan hanya boleh didapati daripada pesakit brain
death. Bagi pesakit yang meninggal dunia kerana jantung terhenti, hanya tisu yang sesuai
didermakan. Itupun jika didapati ada jangkitan seperti hepatitis, HIV dan Syphilis maka
pendermaan organ tidak akan diterima. Maka bukanlah mudah untuk mendapat penderma dan penerima organ yang sesuai walaupun sudah ada calonnya.

Isu yang selalu dipersoalkan oleh keluarga penderma organ adalah tentang hukum dan jika perbuatan membuat pembedahan kepada si mati adalah tindakan menyeksa dan tidak menghormati mayat. Selain itu dipersoalkan juga tentang hukum jika organ tersebut diberikan kepada orang bukan islam atau sebaliknya.

Fatwa tentang hukum pendermaan organ telah dikeluarkan sejak tahun 1970. Secara asasnya hukumnya adalah harus. Ini kerana pendermaan organ adalah memenuh tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada maqasid Syariah (objektif Syariah).

Kaedah fikah yang digunakan termasuk kaedah urusan mengikut tujuan (pemindahan organ bukan untuk menyeksa mayat tetapi untuk meyelamatkan nyawa orang lain), kemudaratan perlu dihilangkan (menghindarkan pesakit yang memerlukan organ meninggal dunia kerana penyakitnya) dan kesukaran membawa kemudahan (kesukaran menghadapi kerosakan organ memberi pesakit kemudahan untuk mendapat pendermaan organ).

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 32 “ Dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan
hidup manusia semua”. Tubuh badan kita bukan hak mutlak kita ataupun keluarga kita.

Begitu juga dengan organ yang ada pada badan kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah. Apabila roh meninggalkan badan, tubuh badan manusia akan membusuk, hancur atau dimakan oleh ulat- ulat pada tanah hingga hanya tinggal tulang belulang. Adalah lebih baik jika organ yang baik itu didermakan kepada orang lain yang memerlukan.

Dengan niat kerana Allah, maka perbuatan ini mampu membekalkan pahala berpanjangan kepada penderma iaitu amal jariah. Melalui riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Apabila mati seseorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah,ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”.

Tidak juga timbul isu jika organ didermakan kepada orang bukan islam kerana membantu
manusia lain adalah amalan soleh yang berterusan dan sebaik-baik manusia adalah yang
memberi manfaat kepada manusia lain. Seperti kisah wanita pelacur yang mendapat pahala kerana memberi seekor anjing yang kehausan, Rasulullah telah bersabda “ Menyayangi setiap makhluk hidup ada pahalanya.” Riwayat Abu Hurairah r.a.

Wallahualam

Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur &

Dr Aspalilah Alias,Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)