Home Nasional ECRL: Alasan Selangor remeh, hanya ganggu pelaksanaan projek

ECRL: Alasan Selangor remeh, hanya ganggu pelaksanaan projek

Hoh Khai Mun

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan negeri Selangor bawah Pakatan Harapan (PH) yang menuntut Jajaran Selatan (Hulu Langat-Sepang-Westport) bagi pelaksanaan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh dilihat sebagai ‘political vendetta’ yang sengaja dibuat untuk menentang Kerajaan Persekutuan.

Tuntutan itu akhirnya menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek, sekali gus perlu menanggung kerugian besar, kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, Datuk Seri Hoh Khai Mun

Menurutnya, tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang tetap dengan pendirian supaya jajaran selatan itu dipilih bagi projek ECRL telah menyebabkan gangguan dalam rancangan Kkerajaan Persekutuan.

Sedangkan, katanya, beberapa laporan penganalisis bebas, jajaran utara (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) akan dapat merangsang hasil ekonomi yang lebih baik, dan sesuai dengan objektifnya untuk menghubungkan rakyat dan laluan perdagangan antara Pantai Timur dan Barat.

Tegasnya, sebarang keputusan penjajaran mestilah bebas daripada agenda politik, dan semua keputusan serta penyelesaian mesti berdasarkan hasil penemuan pakar-pakar profesional dan bebas.

”Kata-kata dan tindakan kerajaan negeri Selangor bukan sahaja tidak mempunyai objektif, tetapi juga penuh dengan retorik politik dan hanya tahu membantah semata-mata.

”Sejak awal lagi, keputusan untuk mengubah penjajaran ECRL adalah keputusan yang salah, yang dibuat oleh PH hanya untuk membalas dendam terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan di sini.

Lantaran itu, Hoh berkata, projek ECRL mesti kembali kepada tujuan asal pelaksanaannya.

Jajaran akan melalui Bentong, Pahang yang menjadi akses kepada semua bandar-bandar utama di negeri pantai timur.

Tambahan pula, tiada keperluan untuk membuat lencongan di Pantai Timur yang akan menyukarkan penghantaran logistik dan membuang masa yang lebih lama.

Sekiranya kerajaan Selangor dapat mengemukakan laporan bebas dan profesional berhubung kelebihan jajaran selatan ini, mungkin ia dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Lagipun, setakat ini, Menteri Besar Selangor hanya mengemukakan alasan-alasan remeh seperti tempoh pengambilan tanah yang lama, penyesuaian infrastruktur dan penempatan semula beberapa penduduk yang tidak cukup untuk mempertahankan keputusan melaksanakan laluan selatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.