Home Nasional Ketum ayam, ketum dua spesies berbeza – Polis

Ketum ayam, ketum dua spesies berbeza – Polis

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

BAGAN SERAI – Polis Perak berharap masyarakat tidak akan mengambil kesempatan daripada galakan kerajaan negeri berhubung penanaman ketum ayam dengan menanam pokok ketum.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketum ayam dan ketum merupakan dua tumbuhan berbeza sekalipun mempunyai fizikal hampir sama.

“Nama ketum ayam ini dipanggil kerana rupa fizikal daun pokok ini menyerupai daun pokok ketum dan diguna pakai sebagai sumber alternatif pemakanan haiwan ternakan seperti ayam.

“Ketum pula adalah sejenis tumbuhan yang boleh menyebabkan ketagihan kepada manusia dan telah dilarang penggunaannya di negara ini,” katanya  pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.

“Kalau mahu petik dan memiliki sehelai daum ketum dan menyimpannya juga merupakan satu kesalahan mengikut Akta Racun,” tambah beliau.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dilapor menggalakkan penduduk kampung menanam pokok ketum ayam yang daunnya dikatakan sesuai sebagai makanan ternakan, sekali gus dapat mengurangkan kos makanan untuk ternakan.

Carian Internet mendapati  ketum ayam atau nama saintifiknya Trichanthera gigantea  berasal dari Amerika Selatan sementara ketum yang nama saintifiknya Mitragyna speciosa merupakan tanaman asal di Asia Tenggara.

Sementara itu dalam ucapannya, Mior Faridalathrash berkata,  polis Perak berjaya mengutip RM14.7 juta bayaran kompaun menerusi Kempen Diskaun Saman yang bermula dari 15 hingga 31 Mac lepas.

Angka itu meliputi 124,342 saman atas pelbagai kesalahan, katanya. – Bernama