PASIR PUTEH – Empat nelayan warga Vietnam yang diselamatkan kapal pelantar tempatan Express 93 dan Express 81 berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di muara Tok Bali, dekat sini diserahkan kepada wakil Kedutaan Vietnam hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mereka yang diselamatkan pada Sabtu dan Ahad lepas, terdiri daripada tekong bot Nguyen Hau Binh serta krunya Le Van Cuong, Le Hoang Ee dan Cao Van Quang masing-masing berusia 20 hingga 47 tahun.
Penyerahan itu dilakukan di ibu pejabat APMM Kelantan, dengan tiga wakil dari pejabat kedutaan Vietnam, Nguyen Hoang Linh, Nguyen Huu Chung dan Nguyen Le Ngoc Anh, hadir mengambil kesemua nelayan itu bagi pihak kerajaan Vietnam.
“APMM Kelantan ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat perkhidmatan perkapalan yang telah membuat aduan, membantu menyelamat dan menyerahkan kesemua mangsa kepada APMM.
“Ini menggambarkan keprihatinan kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan pelaut tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, berdasarkan keterangan daripada Nguyen, lima kru termasuk tekong berada di dalam bot dan ia telah karam akibat dipukul ombak dan ribut pada jarak 69.6 batu nautika timur laut dari lokasi mereka ditemui, pada 24 Mac lepas.
“Empat daripada mereka berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih hilang,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan empat lelaki warga Vietnam yang hanyut diselamatkan kapal pelantar tempatan dengan seorang kru, Hoang Ee ditemukan pada 27 Mac lepas manakala tiga lagi ditemukan selamat pada keesokkan harinya, masing-masing pada kedudukan 107.2 dan 110.5 batu nautika dari muara Tok Bali. – Bernama