SETAHUN berlalu, perang melawan musuh tidak kelihatan dalam bentuk virus berbahaya dinamakan Covid-19 masih belum menemui pengakhiran.
Sehingga kini, kerajaan setiap negara masih gusar, pelbagai langkah pertahanan dirangka dan bermacam-macam strategi melawan dilaksana.
Memerah fikiran dan membuat perancangan adalah pemimpin tertinggi bersama barisan menteri dan kalangan ilmuan serta pakar-pakar dalam hal kesihatan dan kecemasan.
Kita di Malaysia bertuah kerana penularan Covid-19 berjaya dikawal, tidaklah sehingga mengorbankan nyawa puluhan ribu rakyat dan kini program imunisasi pula mengambil tempat.
Hakikatnya, perang melawan Covid-19 belum berakhir, masih jauh untuk dimenangi, namun datang pula gangguan baharu cuba menjejaskan tumpuan kerajaan.
Disebabkan politik, panglima-panglima dari ketumbukan yang berlainan ideologi siasah dengan pentadbiran Persekutuan, diminta lari dari medan perang.
Apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Mac lalu adalah sesuatu yang membingungkan saya dan mungkin ramai lagi rakyat Malaysia.
Secara peribadi, saya tidak dapat menerima apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini mahu wakil-wakil parti itu yang dilantik ke dalam Kabinet, meletak jawatan.
Perlukah usul sedemikian ketika negara masih sibuk bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan?
Adakah ia cubaan sabotaj kerana kebetulan pula menteri-menteri yang menyandang portfolio penting dalam menguruskan krisis melawan Covid-19 adalah mereka yang mewakili ketumbukan politik berkenaan.
Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Menteri Kesihatan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin adalah dua menteri UMN0 yang sangat kritikal peranan mereka dalam perang melawan Covid-19.
Seorang lagi dari parti politik yang sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula adalah panglima dalam menyelaras kawalan pergerakan rakyat bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.
Namun, saya bersyukur kerana menteri-menteri UMNO sedar akan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara, sedia meneruskan khidmat selagi diperlukan atau sehingga Dewan Rakyat dibubarkan.
Biarlah apa pun tanggapan yang timbul, biarlah walaupun pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang cuba menangguk di air keruh menuduh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya merayu menteri-menteri Umno kekal dalam Kabinetnya.
Selagi politik dan kuasa menjadi tumpuan, perkara lain sudah tidak penting lagi dan bukan keutamaan.
Segambut, Kuala Lumpur