KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini akan terus membela nasib semua rakyat tanpa mengira masa atau keadaan sekali pun.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, biar apa pun provokasi politik dibuat oleh pihak tertentu, namun kerajaan akan terus memfokuskan kebajikan dan permasalahan rakyat selepas pasca Covid-19.
“Saya menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan teruskan menyokong usaha Kerajaan PN yang mendahulukan
kepentingan rakyat dalam membawa Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya di Kompleks Sukan Datuk Keramat, hari ini.
Terdahulu Rina merasmikan Sesi Pengenalan Klinik Sosial dan Penyampaian Sumbangan kepada kira-kira 45 mangsa kebakaran Pasar Datuk Keramat.
Pada 17 Mac lalu, Pasar Datuk Keramat yang berusia lebih 50 tahun mengalami kebakaran pada jam 5.30 petang dan memusnahkan lebih 40 gerai, namun tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Pada majlis sama, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran itu.
Menyentuh insiden itu, Rina memberi jaminan bantuan kepada mangsa kebakaran tersebut akan disegerakan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Tekun Nasional (Tekun).
“Sehingga semalam, saya difahamkan bahawa pihak MAIWP telah selesai mengumpulkan semua borang yang lengkap pada hari Isnin tempoh hari, dan sedang memproses setiap permohonan.
“Manakala TEKUN pula telah turun berjumpa dengan persatuan pada 26 Mac lepas dan sedang memproses permohonan-permohonan yang diterima.
“Saya akan terus memantau permohonan-permohonan ini dan
akan menggesa pihak MAIWP dan TEKUN menyegerakan permohonan-permohonan berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, keputusan DBKL yang bersetuju menaikkan khemah-khemah sementara di tapak perniagaan yang terjejas diharapkan akan memberi ruang kepada para peniaga untuk berniaga sementara sepanjang Ramadan ini.
“Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, pihak DBKL akan membuka khemah-khemah sementara tersebut, dan pihak pemaju akan mula membina bangunan separa-sementara dalam tempoh tiga ke empat bulan.
“Keputusan ini diambil untuk membolehkan peniaga-peniaga dapat berniaga semula di tapak-tapak yang sama,” katanya.
Rina juga merasakan satu tindakan lebih holistik perlu dilakukan bagi membantu mangsa-mangsa tragedi ini untuk kembali berniaga dengan penuh semangat.
“Menyedari hakikat ini, saya ingin memperkenalkan satu initiatif iaitu Klinik Sosial khusus kepada semua peniaga terjejas, termasuk penduduk dalam Parlimen Titiwangsa.
“Klinik Sosial adalah satu konsep khidmat bimbingan yang mempunyai beberapa komponen seperti perniagaan, perundangan, kesihatan, sosial, fizikal dan mental serta pendidikan untuk menambah baik taraf kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau percaya komponen dan modul yang terkandung menerusi Klinik Sosial ini akan memberi impak yang positif kepada pesertanya. – MalaysiaGazette