KUALA LUMPUR – Pakatan pembangkang mempunyai banyak soalan yang ingin ditanyakan kepada Menteri Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung pelaksanaan Undi18.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, persoalan mengenai perkara itu seharusnya dibangkitkan di Parlimen dan bukannya di balai polis.
Menurutnya, majoriti Ahli Parlimen yang berusia 50 tahun ke atas dan lebih berisiko terdedah kepada jangkitan wabak itu telahpun mendapatkan suntikan vaksin sebagaimana yang diarahkan sebelum ini.
“Stadium boleh dibuka, menteri boleh hadiri majlis perkahwinan besar-besaran, menteri boleh rentas negeri dan ke luar negara.
“Jadi, sampai masa untuk kami dibenarkan menjalankan tugas di Parlimen.
“Kita ada banyak soalan untuk Menteri Undang-Undang terutamanya berhubung pelaksanaan bagi membenarkan individu berusia 18 tahun mengundi, jadi persoalan ini patut kita jawab di Parlimen dan bukan di balai polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Yeoh bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Mazlee Malik, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan bekas pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung protes Undi18 di hadapan bangunan Parlimen, minggu lalu.
Himpunan secara aman itu diadakan bagi meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman SPR baru-baru ini bahawa kelayakan mengundi 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dapat dilaksanakan pada Julai ini.
Sementara itu, Ambiga turut menyeru golongan muda agar mengambil bahagian dan mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Ujarnya, semua pihak tidak seharusnya berdiam diri berhubung pelaksanaan Undi18 yang tidak dapat dilaksanakan Julai ini, sebaliknya dijangka dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
“Saya seru semua (golongan muda) yang berusia 21 tahun ke atas untuk mendaftar, ini adalah hak anda, kena tunjukkan terhadap apa yang mereka (kerajaan) lakukan terhadap Undi18. Tolonglah buka Parlimen, kita mahukan akauntabiliti.
“Kita tidak boleh senyap mengenai perkara ini, kalau kita senyap, ia akan terus berlaku lagi dan lagi,” ujarnya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila beliau turut hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan. – MalaysiaGazette