Home Nasional Agong ucap takziah kepada keluarga Tan Sri Ahmad Kamil

Agong ucap takziah kepada keluarga Tan Sri Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar yang meninggal dunia, pagi tadi.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi suasana sedih ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai jasa dan khidmat bakti Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para solihin,” demikian hantaran Facebook Istana Negara itu, hari ini

Allahyarham yang dilahirkan di Kulim, Kedah pada 1937 berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri bermula dari 1989 hingga 1996.

Sebelum itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Vietnam (1978), Jepun dan Switzerland serta Wakil Tetap Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva (1980).

Sebelum dilantik sebagai duta, Allahyarham juga pernah berkhidmat di Thailand, Jerman, Singapura dan PBB New York sekitar tahun 70-an dan pernah menjadi Utusan Khas Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Ke-13 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 2003.

— BERNAMA