Home Nasional Kerja alih kren gantri SUKE bermula

Kerja alih kren gantri SUKE bermula

Sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. telah memulakan kerja pengalihan kren gantri yang jatuh baru-baru ini yang mengakibatkan kemalangan jiwa di Persiaran Alam Damai, di sini.

Menurutu kenyataan Prolintas, kerja pengalihan yang dilakukan bersama kontraktor, Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn. Bhd (SMPP) akan berlangsung selama seminggu.

“Kerja-kerja pengalihan ini rumit, di mana kren gantri terlibat akan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum dibawa turun.

“Enam unit kren akan digunakan untuk kerjakerja pengalihan ini dan ianya telah mendapat kelulusan dari jurutera perunding seliaan dan pihak berwajib,” kata Prolintas.

Selain itu, SUKE dan SMPP turut bekerjasama dengan jurutera perunding professional, pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Prolintas memberi jaminan pengalihan gantri akan dilakukan dengan mengutamakan keselamatan penduduk sekitar dan pekerja pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Untuk rekod, kerja-kerja pengalihan kren gantri ini dijalankan setelah selesai kerja-kerja fasa pertama iaitu penstabilan struktur rasuk dan kren gantri yang terlibat dijalankan.

Pada 22 Mac yang lalu, tiga maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera apabila komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai. – MalaysiaGazette