KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin MIC akan terus komited dan kekal setia dengan Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu berdepan dengan pelbagai cabaran dalam tempoh 63 tahun.
Pengerusi BN itu berkata, parti terbesar masyarakat India yang telah diterajui oleh 10 Presiden telah lama bersama dengan gabungan itu, iaitu sejak zaman Perikatan.
“Kita tahu apabila MIC bersama-sama dengan MCA dan UMNO sebagai tonggak dalam Perikatan kini BN, kita telah bersama-sama harungi ujian, dugaan dan cubaan namun kita tetap kekal utuh untuk terus bersama sehingga kini.
“Sepanjang 63 tahun ini, sudah ada gelombang, badai dan kenikmatan telah dikecapi bersama.
“Ketika kita kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14, kita harus ingat bahawa kita cuma kalah sekali sahaja dan telah 13 kali menang,” katanya ketika berucap secara maya pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, BN tidak seharusnya berduka dan kini perlu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Tambah Presiden UMNO itu, kejayaan lebih besar hanya dapat dicapai seandainya hubungan dalam gabungan itu terus kekal utuh dan komited walaupun ada kalanya terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Kita tahu ada pujukan, ada ugutan malah ada ancaman kepada kita, kita sebagai sebuah parti gabungan yang mempunyai rekod panjang tentunya terpaksa berdepan dengan semua ini namun pada masa sama kekalahan ini harus ditebus kembali.
“Caranya ialah tentukan saf kepimpinan kita dengan semangat berpasukan dalam kalangan kita walaupun pelbagai pujukan atau ugutan menerjah luar dalam, kita harus kekal utuh, komited bersama-sama BN,” ujarnya sambil menambah BN akan menghadapi ujian yang lebih hebat.
Ujarnya, hanya lambang BN yang akan digunakan pada PRU15 walaupun UMNO terpaksa bertanding secara solo.
Menurut Ahmad Zahid, MIC tetap merupakan komponen BN yang akan menghadapi seteru-seteru kita dalam PRU15 kelak.
“Hanya BN yang akan dapat berikan perkhidmatan kepada rakyat dan hanya MIC, MCA, PBRS serta UMNO dapat kukuhkan barisan kita,” katanya. – MalaysiaGazette