Home Nasional Muhyiddin lantik Saravanan kerana sumbangan MIC hampir 7 dekad

Muhyiddin lantik Saravanan kerana sumbangan MIC hampir 7 dekad

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap secara maya pada Perhimpunan Agung MIC di Hotel Wyndham Acmar, Kalang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021.

KLANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan penghargaan terhadap parti terbesar masyarakat India, MIC yang bersama-sama mengemudi negara selama hampir tujuh dekad.

Perdana Menteri berkata, terlalu besar sumbangan MIC kepada rakyat khususnya masyarakat India untuk sekian lama.

“Sumbangan MIC dalam memajukan masyarakat India baik dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan dalam setiap kejayaan yang dicapai oleh masyarakat India, terdapat sumbangan MIC di sebaliknya. Amat besar sumbangan MIC kepada rakyat, khususnya masyarakat India di negara ini.

“Oleh sebab itu, saya telah melantik wakil MIC dalam Kabinet saya iaitu Datuk Seri M Saravanan, Timbalan Presiden MIC,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-72 melalui aplikasi Zoom hari ini.

Menurut Muhyiddin, pelantikan itu dibuat bukan atas dasar perwakilan daripada Barisan Nasional (BN) tetapi untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf peranan semua kaum.

Beliau yang merupakan  Pengerusi PN memberitahu, MIC sememangnya dari awal lagi telah menunjukkan komitmen serta sokongan terhadap usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 selain pemulihan ekonomi.

“Sokongan MIC telah membolehkan kerajaan Perikatan Nasional mengurus negara dengan baik sekalipun berhadapan dengan suatu krisis besar yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat.

“Saya fikir pimpinan MIC faham akan situasi yang dihadapi oleh negara dan rakyat pada masa ini dan oleh sebab itu terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN untuk mengurus negara dan membantu rakyat,” ujarnya sambil menambah ia merupakan pendirian yang tepat dan rasional

Menurut Muhyiddin, kerajaan perlu mewujudkan kestabilan politik bagi membolehkannya mengurus negara dengan cekap dan berkesan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sokongan MIC kepada kerajaan PN bukan sahaja pada masa ini sebaliknya  juga pada masa yang akan datang.

“Saya percaya sekiranya kita berada pada landasan yang sama, dalam saf yang sama, kita akan dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara yang pastinya akan memberikan manfaat besar kepada semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Wak jahid nk muka kt mana ni.. Dia kan pengerusi BN yg mana MIC ada didalamnya. Tapi org yg tk diiktiraf umno plak pi rasmi persidangan rakan sekutu umno.. MIC pada awalnya dah istihar masuk PN, tapi tarik balik tanpa sbb. Mgkin disebabkan umno ugut MIC kot..?
    Apa² hal pun PN tetap meraikan kepelbagaian bangsa dan agama.
    Semiga PN terus bergerak kehadapan..

  2. Kah kah kah..MIC boleh masuk PN laaaa…tu Mahaiddin ko punya pengerusi dah bg taklimat musibat..ko ni sama jaa dgn PAS & Gerakan..mana ko rasa boleh untung, kat situ ko mengemis..

Comments are closed.