Home Nasional Jabatan Kesihatan Perak nafi anggota polis mati akibat dos kedua vaksin

Jabatan Kesihatan Perak nafi anggota polis mati akibat dos kedua vaksin

Mereka yang telah lengkap vaksinnya akan diberikan satu kad identiti sebagai bukti mereka telah lengkap vaksinnya dan dibenarkan melakukan aktiviti seperti biasa.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Perak menafikan berita kononnya seorang anggota polis telah meninggal dunia akibat komplikasi selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Gerik Perak semalam.

Pengarahnya, Dr. Ding Lay Ming berkata, berita berkenaan adalah tidak benar dan palsu yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak mendapati terdapat penularan berita menerusi media sosial seperti di Facebook mengenai isu seorang pegawai polis berumur 50-an dari Gerik yang telah meninggal dunia akibat komplikasi suntikan kedua vaksin.

“Hasil siasatan mendapati pegawai polis tersebut telah dirujuk dari Hospital Gerik ke Hospital Taiping dan pegawai polis tersebut mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Semasa penerimaan vaksin Corminaty dos pertama pada 13 Mac lalu, pesakit tidak mengadu sebarang gejala, begitu juga selepas menerima vaksin dos kedua pada pagi semalam pun, tiada bergejala selepas 30 minit pemerhatian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

BACA: Sebar berita palsu polis mati akibat vaksin, polis cari Junaidah

Tambah Lay Ming, pegawai polis tersebut mengadu sakit pada waktu tengahari dan telah diberi rawatan awal di Hospital Gerik, seterusnya dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Taiping.

“Pesakit mengalami Myocardial Infarct (sakit jantung) tetapi keadaan pesakit sekarang adalah stabil. Orang ramai juga digesa supaya tidak menularkan sebarang berita yang belum sahih kerana dibimbangi menimbulkan kegusaran orang ramai,” tegasnya.

Terdahulu Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan media tengahari tadi menegaskan berita palsu itu telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook bernama Junaidah June yang sedang diburu polis.

Katanya, anggota berpangkat rendah polis itu kini stabil menerima rawatan di Hospital Taiping sekali gus menafikan berita palsu kononnya anggota itu yang bertugas di Balai Polis di Gerik meninggal dunia selepas mengambil dos kedua vaksin semalam di wad kecemasan hospital itu.-MalaysiaGazette