Home Nasional Belum ada syarat peniaga perlu cucuk vaksin dahulu sebelum mohon lesen

Belum ada syarat peniaga perlu cucuk vaksin dahulu sebelum mohon lesen

Annuar Musa

PUTRAJAYA – Belum ada syarat dikenakan kepada peniaga di Wilayah Persekutuan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum mereka boleh memohon lesen perniagaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini kementeriannya belum membuat keputusan berdasarkan syarat tersebut kerana memahami negara masih lagi belum pulih daripada wabak Covid-19.

“Kita masih lagi sehingga 1 Ogos mengekalkan dasar di bawah Wilayah Bebas Niaga (WBN) selain terus menyediakan fasiliti serta memberi galakan kepada peniaga, walaupun saya tahu sekarang ini bila nak masuk bulan Ramadan ramai orang yang dah berniaga dan nak sambung lagi berniaga.

“Saya fikir kita tidak mahu perketatkan kerana peniaga-peniaga perlu diberikan masa supaya mereka dapat rasa suasana ‘blooming’ ketika ini. Kalau kita tengok sekarang sama ada di kedai atau pasar aktiviti baru mula hendak pulih jadi saya tidak mahu mengganggu para peniaga,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri Melaka akan mewajibkan peniaga di negeri itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai satu daripada syarat permohonan mendapatkan lesen perniagaan pada masa depan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dalam apa jua situasi.

“Kita mahu teruskan dengan polisi mesra rakyat selaras dengan konsep prihatin.

“Kalau kita sebagai peniaga bagaimana rasanya hilang pendapatan? Justeru dimana kita boleh beri kemudahan dan bantuan kita akan beri, itu sikap kita cara kita kerajaan ini mestilah mendahulukan rakyat,” ujarnya.

Untuk rekod, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi WBN bermula 15 November lalu. – MalaysiaGazette