Home Nasional Isu SOP: Neelofa selesai beri keterangan di IPD Dang Wangi

Isu SOP: Neelofa selesai beri keterangan di IPD Dang Wangi

Neelofa. Foto MOHD ADZLAN, 05 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Selebriti dan juga usahawan popular tempatan, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail telah selesai diambil keterangan oleh polis malam ini.

Pasangan pengantin baharu itu tampil sendiri dan memberi keterangan dalam siasatan kes membabitkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis pernikahan mereka  pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohammad Zainal Abdullah ketika dihubungi berkata, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor sepatutnya dijadualkan tampil ke IPD esok untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

“Hari ini sejurus selepas menghadiri satu majlis sebelah petang tadi, dia (Neelofa) bersama suaminya hadir ke IPD sebelum Maghrib tadi.

“Dia sepatutnya datang esok tetapi tiba-tiba sudah ada di IPD antara 6 hingga 7.30 malam dan sudah selesai memberi keterangan yang diperlukan kepada polis dalam kes ini bersama suaminya tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.

BACA: Neelofa mahu selesaikan isu langgar SOP secara profesional

BACA: Polis siasat majlis pernikahan Neelofa

Tambah Mohamad Zainal, polis selepas ini akan cuba melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

“Kita akan cuba menyegerakan proses melengkapkan siasatan memandangkan pegawai penyiasat kes sudah selesai mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri berkenaan.

“Kita akan cuba lengkapkan kertas siasatan kes ini dalam minggu ini kemudian kita akan kemukakan kertas siasatan lengkap itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” tegasnya.

Neelofa bersama beberapa lagi individu yang hadir ke majlis pernikahannya d isiasat polis selepas sekeping gambar yang tular di media sosial menerima kritikan kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka.

Justeru pengurus hotel berkenaan serta penganjur majlis tersebut juga telah dipanggil polis dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kerana gagal memastikan pematuhan SOP oleh tetamu dan juga pasangan pengantin itu.

Malah pada satu majlis tengahari tadi, Neelofa menegaskan dia mahu menyelesaikan isu tersebut secara tertutup dan profesional bersama pihak polis.- MalaysiaGazette