PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 Jajaran Utara akan dilaksanakan dengan impak paling minima kepada rakyat Selangor.
Kata Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, Jajaran Utara akan mengurangkan impak terhadap alam sekitar dengan memastikan bahawa projek tidak akan menjejaskan Permatang Kuartza Gombak yang sedang dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Selain itu ujarnya, jajaran tersebut juga tidak akan memasuki kawasan Empangan Batu yang merupakan salah satu pembekal air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang.
“Malahan ECRL telah mempunyai mitigasi untuk memastikan jajaran ECRL dapat mengelakkan Empangan Batu dan kawasan tadahan air sekitarnya,” katanya ketika sidang media khas hari ini.
BACA: Tolak jajaran semula ECRL, KSN kena jujur jangan ikut alasan politik – MB
Selain itu tambah Ka Siong, beberapa terowong dibina sepanjang 15.22 km untuk mengurangkan penebangan hutan-hutan simpan yang melalui ECRL di bawah jajaran.
Antara hutan-huran simpan yang akan terlibat dengan kerja-kerja terowong adalah Hutan Simpan Ulu Gombak, Hutan Simpan Templer, Hutan Simpan Serendah dan Butan Simpan Rantau Panjang.
Aspek keterlibatan tanah Orang Asli juga menurutnya memihak kepada Jajaran Utara, apabila hanya dua kawasan Orang Asli yang akan mengalami kesan langsung, jika dibandingkan jajaran sebelum ini iaitu jangkaan tujuh kawasan Orang Asli akan terjejas.
“Dari sini saya mengatakan jika kekhuatiran Negeri Selangor sebelum ini adalah penempatan Orang Asli kini dengan Jajaran Utara tidak ada lagi kawasan orang Asli yang terjejas inilah komitmen kita,” ujarnya.
Secara keseluruhannya beliau berkata, Jajaran Utara ECRL 3.0 akan mengurangkan jumlah bayaran pampasan kepada pemilik tanah kerana 4,302 lot yang akan terlibat.
Ini berbanding, Jajaran Selatan yang dijangka melibatkan 6,038 lot.
“Semakin kurang jumlah tanah yang diambil semakin kurang pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada pemilik tanah.
“Ini juga akan mengurangkan kesulitan yang mungkin dihadapi oleh pemilik tanah dan hartanah yang terlibat bagi tujuan projek ECRL.
“Secara amnya Jajaran Utara mungkin memberi kesan kepada 11 kawasan perumahan di sepanjang 201 km jajaran dari Mentakab ke Pelabuhan Klang menakala Jajaran Selatan akan menjejaskan 19 buah kawasan perumahan,” katanya lagi.
Ka Siong berkata, ECRL di bawah Jajaran Utara juga berpotensi menarik 5.03 juta penumpang pada tahun pertama pengoperasiannya.
Jangkaan itu menurutnya, lebih tinggi berbanding Jajaran Selatan iaitu 4.07 juta.
Ini kerana ujarnya, kelebihan ECRL adalah mengurangkan masa perjalanan ke ibu negara iaitu empat jam berbanding tujuh jam purata melalui jalan raya atau sehingga 12 jam pada musim perayaan.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Laluan ECRL 3.0 diubah semula guna jajaran utara, kos RM50 bilion