Home Pendapat Mengumpat berdosa, membawang tidak?

Mengumpat berdosa, membawang tidak?

Seolah-olah membawang itu perkara biasa dan norma sosial yang tidak menjadi kesalahan jika dilakukan. Hakikatnya, masyarakat pada hari ini telah dinormalisasikan dengan pelbagai istilah yang menghalalkan cara dan tindakan yang buruk, agar kedengaran baik.- Gambar hiasan.

ISTILAH makcik bawang dan membawang pada masa kini semakin popular dalam kalangan muda-mudi dan masyarakat kita hari ini. Perkataan ini kerap terucap di bibir semua tidak kira peringkat usia hatta kanak-kanak sekalipun terbiasa mengungkapnya. Namun begitu, dalam menyebut dan melakukan perbuatan ‘membawang’ ini, seseorang perlu memahami apakah makna disebaliknya.

Malah sebelum istilah membawang ini menjadi ayat kebiasaan, istilah ‘kaki gosip’ dan ‘kepoh’  kerap berkumandang. Kini, istilah membawang bukan sahaja didengari dalam perbualan, malah sering ditulis dan dibaca di status media sosial dalam pelbagai sebutan seperti makcik bawang, pakcik bawang, jom membawang dan yang seumpamanya.

Istilah membawang ini pada dasarnya merujuk kepada perlakuan mengata, memburuk-burukkan atau dalam istilah yang lebih tepat lagi ialah ‘mengumpat’ iaitu menceritakan perihal orang lain.

Namun istilah ini menjadi popular atau trending dalam kalangan masyarakat sehingga menutup segala makna buruk yang terlindung di sebalik istilah tersebut. Bahkan ia kelihatan seperti satu tindakan jujur yang tanpa rasa segan silu si pelaku akan mewar-warkan, menceritakan dan menghebohkan perbuatan ‘membawang’ nya.

Seolah-olah membawang itu perkara biasa dan norma sosial yang tidak menjadi kesalahan jika dilakukan. Hakikatnya, masyarakat pada hari ini telah dinormalisasikan dengan pelbagai istilah yang menghalalkan cara dan tindakan yang buruk, agar kedengaran baik.

Bahkan untuk tujuan ini, penggunaan istilah juga telah diubahsuai (re-framing) supaya individu yang terbabit tidak lagi rasa bersalah atau berdosa melakukannya.

Tambah parah apabila istilah membawang ini bukan sahaja digunakan secara lisan tetapi di status media sosial dalam kalangan masyarakat atau ‘netizen’ pada hari ini banyak menggunakan istilah seperti membawang di rumah, membawang dengan kawan-kawan, membawang di tempat kerja, membawang di dapur dengan jiran dan sebagainya.

Di era digital dengan medium aplikasi dalam talian, ramai antara kita yang tidak dapat mengawal tangan daripada mengetuk papan kekunci komputer atau gajet dari terus menerus memuatnaik kenyataan (status), penulisan ataupun percakapan di Facebook, blog, Instagram, Twitter dan Youtube dengan mengumpat individu lain.

Persoalannya, adakah masyarakat kita sedar dan faham makna sebenar di sebalik istilah ini dan implikasinya? Salah faham tentang makna yang terkandung di sebalik istilah tersebut boleh membawa kepada berlakunya perbuatan yang mungkar.

Malah di sebalik sebutan dan tulisan, jika ia diteruskan menjadi perbuatan dan kelaziman, seterusnya akan mendapat dosa yang berlipat kali ganda. Hal ini tidak boleh dipandang enteng kerana isu istilah ini sekali gus menjurus kepada perbuatan yang mungkar, juga diibaratkan lebih buruk dari berzina, sepertimana sabda Rasulullah (SAW) bermaksud; “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Oleh yang demikian, tiada istilah mengumpat berdosa dan membawang dibolehkan, lebih ringan atau lebih sedap bunyinya.

Persoalan ini bernoktah pada makna yang sama iaitu mengumpat atau menceritakan hal orang lain dan hukum serta larangannya telah jelas dinyatakan dalam agama Islam.

Secara asasnya, mengumpat dalam bahasa Arab disebut sebagai Ghibah yang bermaksud menyatakan keburukan atau keaiban seseorang di belakangnya sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun isyarat. Malah, salah seorang sahabat nabi SAW pernah bertanya Rasulullah SAW; Apa itu mengumpat?. Rasulullah SAW menjawab;“Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di belakangnya yang dia tidak suka.”

Selanjutnya sahabat itu bertanya; “Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar terdapat padanya?”. Rasulullah SAW menjawab;“Dalam hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu memang benar) maka sebenarnya itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah memfitnahnya”.

Dalam Islam mengumpat adalah perbuatan yang amat dilarang sama sekali, hukum mengumpat adalah haram dan berdosa besar sehingga perumpamaan yang diberikan kepada para pengumpat diibaratkan seperti memakan darah daging sendiri sepertimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat (12);
“Dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kalian memakan daging bangkai saudaranya yang telah mati, pasti kalian membencinya. Maka bertaqwalah kalian kepada Allah, sungguh Allah Maha Menerima taubat dan Maha Pengasih”.

Islam amat menitikberatkan elemen menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan.

Sehubungan itu, Islam melarang dan mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat.

Implikasi daripada perbuatan membawang (mengumpat) amat besar kepada individu, masyarakat dan juga negara.

Hal ini kerana, ia dapat merosakkan imej seseorang, menjatuhkan maruah orang lain, memecah-belahkan perhubungan antara suami-isteri, saudara-mara, sahabat-handai serta masyarakat.

Malahan, perbuatan ini juga adalah asas kepada tersebarnya fitnah yang lebih besar. Ia bermula dengan menyebarkan benda yang palsu dan aib yang natijahnya memutuskan silaturrahim, mencetuskan prasangka buruk dan hasad dengki.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah mengklasifikasikan aktiviti ‘membawang’ atau mengumpat sebagai salah satu jenayah buli siber tanpa mengira ia berlaku di Twitter, Facebook, Instagram atau mana-mana laman media sosial. Dalam perundangan, mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKM) 1998, perbuatan ‘membawang’ boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Secara lumrah, memperkatakan atau bercakap perihal individu lain merupakan fenomena yang tidak asing dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, perkara ini bukanlah akhlak sebenar seorang Muslim kerana perbuatan ini merupakan suatu dosa besar.

Justeru, setiap individu harus berwaspada dengan penggunaan istilah membawang dan lebih utama peranan lidah perlu dijaga bagi membentengi diri dari azab di alam barzakh dan di akhirat kelak. Teringat dengan untaian kata dalam Bahasa inggeris iaitu “watch before you leap, think before you speak” yang mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam tindakan dan percakapan.

Tuntasnya, setiap individu harus sentiasa peka dan berhati-hati dalam menggunakan istilah dan perbuatan membawang yang menjurus kepada umpatan terhadap hal ehwal individu lain bagi mengelakkan dosa serta natijah buruk susulan dari perbuatan, tulisan, dan percakapan tersebut.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

1 Komen

  1. Boleh cakap keburukan orang lain untok pengajaran dan boleh beritahu kejahatan orang itu supaya berhati2 dari kejahatannya . Mungkin orang jahat tersembunyi dari lagak baiknya hingga orang lain tak tahu akhirnya kita tertipu.

Comments are closed.