KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Keramat hari ini mendesak polis menyiasat seorang individu menggunaan pangkat ‘Datuk Seri’ yang disyaki menipu orang awam dengan skim pelaburan cepat kaya.
Presidennya, Hamdan Mohd Salleh mendakwa individu berkenaan menggunakan gelaran palsu untuk memperdaya mangsanya.
Setakat ini, katanya, jutaan ringit telah ditipu individu berusia sekitar 30-an yang kini difahamkan sudah melarikan diri ke Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa atau mangsa penipuan skimnya.
“Setakat ini saya telah menerima lebih 10 aduan dari awam yang menjadi mangsa tipu kepada ‘Datuk Seri’ palsu ini.
“Walaupun lelaki itu pernah menafikan penggunaan gelaran palsu itu pada tahun 2017 namun siasatan pasukan khas kami mendapati dia masih menggunakan gelaran palsu itu tanpa watikah sah sekaligus menyalahgunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan institusi Majlis Raja-Raja” katanya.
Terdahulu, Hamdan bersama timbalannya, Faizal Mohd Nor dan ketua penerangannya, Zulhafiz Hanafiah hadir pukul 3 petang ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi membuat laporan polis sebagai mendesak siasatan dilakukan.
Katanya, beliau akan menyerahkan segala bukti-bukti beserta dokumen menyokong dakwaanya bagi membantu polis meneruskan siasatan terhadap individu itu.
Menurutnya, pihaknya kesal individu yang merupakan suspek utama penipuan berkenaan masih tidak dapat ditahan kerana kekangan daripada segi bukti dan berjaya lolos ke negara jiran.
“Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana dia berani menggunakan gelaran datuk seri itu tanpa watikah yang sah yang mana merupakan satu kesalahan serius yang perlu dihukukm tegas mengikut undang-undang negara,” tegas Hamdan.-MalaysiaGazette