Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM173.24 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing lupus RM173.24 juta ekuiti tempatan minggu lalu

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut setelah menjual ekuiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia berjumlah RM173.24 juta minggu lalu berbanding RM239.8 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, pelabur asing membeli RM89.8 juta ekuiti tempatan ketika pasaran dibuka semula Isnin lalu.

Pelabur runcit yang menjadi pembeli bersih minggu lalu membeli RM30.3 juta manakala pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan jualan RM120.1 juta.

Pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari kecuali pada hari Rabu.

Bagaimanapun, aliran masuk masih tidak mencukupi untuk membalikkan aliran keluar pada pertengahan minggu lalu.

Aliran masuk asing terbesar dicatat pada hari Isnin dan aliran masuk terkecil pada hari Khamis pada RM7.03 juta.

Satu-satunya aliran keluar yang dicatatkan adalah pada hari Rabu iaitu RM337.59 juta,” kata MIDF.

Setakat ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia dengan nilai RM5.32 bilion, kata MIDF.

Manakala institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih, masing-masing sebanyak RM3.63 bilion dan RM1.69 bilion.

Pelabur runcit adalah pembeli bersih pada separuh pertama minggu ini dan penjual bersih kemudiannya.

Pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada hari Rabu pada RM224.59 juta, sementara penjualan bersih terbesar pada hari Jumaat pada RM33.01 juta.

Secara kumulatif untuk minggu ini, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM331.98 juta di bursa.

Kumulatif aliran keluar institusi tempatan pula sebanyak RM158.76 juta.

Pembelian bersih terbesar adalah pada hari Rabu sebanyak RM113 juta, sementara pembelian bersih terkecil pada hari Khamis pada RM1.78 juta, menurut firma penyelidikan itu.

Penjualan bersih terbesar berlaku pada hari Selasa sebanyak RM147.6 juta.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing merekodkan penurunan mingguan sebanyak 4.49%, 0.32% dan 18.78% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette