KUALA LUMPUR – Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora mengalami kesesakan sepanjang 10 kilometer susulan kerja-kerja mengalih bas ekspress yang terbalik di lokasi itu pagi semalam.
Menerusi Twitter, PLUS Trafik memaklumkan, semua lorong arah selatan bermula dari kilometer (km) 267 hingga km 265 ditutup bagi kerja pengalihan bas terbabit sehingga tengah malam tadi.
PLUS turut mengaktifkan laluan kontra namun, trafik tetap bergerak perlahan sehingga 10km.
Bagaimanapun, sekitar jam 10.30 malam tadi, aliran trafik menghala utara berjalan lancar, biarpun ketika melalui laluan kontra terbabit.
Sementara itu, ciapan yang dimuat naik PLUS Berhad pada pukul 12.30 tengah malam pula memaklumkan, semua lorong arah selatan mula dibuka semula dan laluan kontra ditutup, selepas kerja pengalihan yang bermula sejak 7.53 malam.
Dalam kemalangan awal pagi semalam, bas ekspres dinaiki 15 penumpang yang dalam perjalanan dari Kulim ke Kuala Lumpur itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu terbalik mengakibatkan kesemua penumpang, termasuk pemandu bas cedera dan dua parah.
Susulan kemalangan itu, pemandu bas terbabit yang berusia 39 tahun dan berasal dari Kedah ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia mempunyai 19 rekod saman kesalahan trafik, selain tiga rekod saman bagi bas dipandunya itu.
Polis mengesahkan, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu bas terbabit dipercayai terlelap seketika dan ia menjadi antara punca kemalangan berlaku. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: