Home Ekonomi Tarik pelabur sektor digital, elak Malaysia dalam posisi merugikan – DPIM

Tarik pelabur sektor digital, elak Malaysia dalam posisi merugikan – DPIM

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru agar menarik para pelabur asing sektor digital ke negara ini supaya keputusan yang dibuat sekarang tidak menjadikan Malaysia berada dalam posisi yang merugikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, realitinya, projek kabel internet bawah laut, pelaburan syarikat gergasi seperti Facebook dan Google bagi menghubungkan rantau ASEAN, Indonesia dan Singapura secara terus ke Amerika Syarikat hanya akan merugikan negara ini.

Katanya, Malaysia akan terus ketinggalan berbanding Singapura yang bakal menguasai ekonomi digital di rantau ini dan ia sekaligus akan menyebabkan Harimau Asia bukan lagi milik negara jika Indonesia boleh melangkaui Malaysia.

“Syarikat IBM yang merupakan antara syarikat teknologi pertama yang melabur di Cyberjaya ketika Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei.

“Ini satu lagi kerugian buat negara dan bakal terus ketinggalan dalam menguasai ekonomi digital. Pada masa yang sama, penutupan itu mungkin menyebabkan lebih 1,000 pekerja kehilangan pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, berdasarkan realiti dan situasi semasa, kerajaan perlu cakna ekonomi negara agar tidak ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan tidak boleh memilih pelaburan ketika pelabur-pelabur besar memilih negara-negara jiran.

Jelas beliau, keadaan ekonomi yang terkesan teruk pada ketika ini tidak boleh disalahkan kepada Covid-19 semata-mata kerana Singapura dan Indonesia turut diserang wabak tersebut.

Justeru, Shahir menasihatkan menteri bertanggungjawab agar tidak meremehkan kegawatan ekonomi dengan menggesa anak-anak muda dan graduan untuk bersyukur dengan kerja gaji yang rendah.

“Tugas menteri adalah untuk membuka peluang pekerjaan dan menarik pelaburan ke negara kita.

“Amat memalukan apabila anak muda diminta bersyukur untuk menerima gaji di bawah paras gaji minima RM1,200, walhal tiada inisiatif tuntas daripada pihak kerajaan untuk memperbaiki sistem ekonomi termasuklah penguatkuasaan oleh kerajaan.

“Sekiranya gaji minima sudah ditetapkan, bagaimana pula ada majikan yang tidak patuh kepada dasar kerajaan?” soalnya. – MalaysiaGazette