SHAH ALAM – Tiada kelonggaran mahupun pengecualian diberikan kepada majikan dalam pelaksanaan gaji minimum, mengikut Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bagaimanapun tidak menafikan ada segelintir majikan menawarkan bayaran lebih rendah kepada siswazah atas faktor kelembapan ekonomi ketika ini.
“Kalau ikut Akta Kerja 1955 (Akta 265) kita sudah tetapkan (gaji minimum). Akta tak pernah beri kelonggaran, hanya Parlimen boleh beri kelonggaran.
“Ini bukan pendirian kerajaan, ini di antara majikan dengan pekerja, ada juga pekerja sanggup terima sebab tiada kerja lain,” katanya pada sidang media di Geno Hotel, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan gaji permulaan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun berkenaan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.
Saravanan mendedahkan terdapat segelintir majikan yang hanya memerlukan pekerja separuh masa sahaja dan menawarkan gaji harian jauh lebih rendah daripada gaji minimum.
“Kadang-kala ada gaji harian, ada cadangan syarikat sarung getah, dia ambil pekerja cuma 20 hari saja.
“Dalam keadaan hari ini, ada juga majikan beri tawaran kepada penganggur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette