Home Nasional Dua kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Dua kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Salah sebuah kapal yang ditahan Maritim Negeri Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran.
JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  Johor menahan dua buah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Ahad dan Isnin baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri (MN) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan itu hasil daripada kesinambungan Op Jangkar Haram yang dilakukan secara berterusan.
“Maritim Malaysia terus memantau kapal-kapal yang menjalankan aktiviti di sekitar perairan Johor khasnya di perairan Johor Timur.
“Kapal pertama yang ditahan berdaftar di Indonesia dan dikendalikan 23 kru termasuk nakhoda telah ditahan pada 4 April sekitar jam 6.10 petang di kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.
“Manakala kapal kedua yang berdaftar di Mongolia ditahan di kedudukan 13 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada jam 8.10 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Hizam, kesemua kru kedua-dua kapal merupakan warga Indonesia berusia antara 25 hingga 55 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambah beliau, dua kru dari setiap kapal yang ditahan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua kapal seterusnya akan disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Pengarah Jabatan Laut,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan meraka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, ujarnya.
Sementara itu, MN Johor telah menahan 21 buah kapal sepanjang Op Jangkar Haram sejak 24 Mac lalu dan 31 buah kapal ditahan sejak Januari lalu.
Katanya, MN Johor akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah dan kecemasan di perairan Johor diminta menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor  di talian 07-2199404
atau talian kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette