Home Nasional Kegiatan seleweng minyak masak merugikan negara – Alexander

Kegiatan seleweng minyak masak merugikan negara – Alexander

Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Minyak masak bersubsidi telah disalahgunakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan atas angin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kegiatan yang didedahkan oleh penguat kuasa kementeriannya itu memang benar-benar berlaku dan mengharapkan kerjasama daripada orang ramai melaporkan kepada pihaknya.

“Kita mohon kerjasama daripada semua pihak sama ada peniaga atau pengguna bersama-sama berganding bahu mencegah perkara ini.

“Kalau dibiarkan ia akan merugikan negara kerana subsidi ini diberi untuk membantu pengguna jadi yang menipu itu dia yang meraih untung.

“Apa yang lebih teruk mengalirkan wang kerajaan kepada orang tidak bertanggungjawab, itu betul-betul illegal dan melanggar undang-undang dan kesannya buruk,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Alexander berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan ada pakatan antara pengedar, pemborong dan pembungkus minyak masak menyeleweng subsidi bernilai kira-kira RM50 juta yang diberikan kerajaan setiap bulan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pemberian subsidi oleh kerajaan adalah bagi memastikan bekalan minyak dengan harga rendah dapat mencapai golongan sasar seperti B40.

“Jadi mengapa masih ada yang perlu jual dengan harga berpatutan dan mengambil kesempatan,” ujarnya. – Malaysia Gazette