Home Nasional Kerja-kerja ganti injap paip Empangan Klang Gates bermula 9 pagi tadi

Kerja-kerja ganti injap paip Empangan Klang Gates bermula 9 pagi tadi

lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah dimulakan pada jam 9 pagi hari ini seperti yang dijadualkan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja-kerja penggantian injap ini dijangka siap pada jam 9 malam hari ini.

Selepas kerja-kerja berjadual ini siap dilaksanakan, loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air mula disalurkan kepada pengguna.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat-peringkat dan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

”Seperti yang dimaklumkan, kerja-kerja penggantian ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur bermula 9 pagi, 6 April 2021.

”Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 5 pagi, 9 April 202,” kata Elina Baseri Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor.

Menurutnya, syarikat itu akan menggerakkan sebanyak 29 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta upacara pengebumian.

Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter-kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

Para pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri.

Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen pengambilan air di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan Stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi.

Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut dibuka di Sebelah Padang Bola, Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi kemudahan para pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan Air Selangor. – MalaysiaGazette