Home Nasional Tujuh ‘pegawai polis’ samun pemotong ayam dicekup

Tujuh ‘pegawai polis’ samun pemotong ayam dicekup

logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan tujuh suspek lelaki tempatan yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyamun seorang pemotong ayam akhirnya makan diri.

Kesemua suspek yang diburu selepas kejadian samun akhirnya tumpas di tangan polis.

Kesemua lelaki berkenaan ditangkap dalam dua serbuan berlainan di daerah Hulu Selangor semalam, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang semalam.

Semasa kejadian, katanya, mangsa dan rakannya menginap di dalam sebuah bilik hotel yang terletak di Jalan Adenium, Bukit Beruntung.

“Mereka kemudian didatangi lima lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan meminta kad pengenalan serta telefon bimbit mangsa dan rakannya.

“Suspek kemudian mengarahkan kedua-dua mangsa menunggu di bilik kerana lori polis akan mengambil mereka dengan alasan untuk dihantar ke balai polis berhampiran untuk tujuan mengambil ujian air kencing mereka.

“Namun tidak lama kemudian kesemua ‘pegawai polis’ (suspek) itu telah melarikan diri bersama kad pengenalan dan telefon bimbit milik mangsa serta rakannya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia merah yang nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

“Mangsa mengalami anggaran kerugian sekitar RM6,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ridzuan,  bertindak atas laporan polis kedua-dua mangsa, polis menyerbu dua lokasi berbeza  sebelum berjaya menangkap tujuh lelaki tempatan dan merampas barangan yang disamun mereka.

Ujian air kencing ke atas mereka didapati dua daripada suspek positif methaphetamin dan lima lagi negatif.

Polis juga berjaya merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama termasuk tiga Iphone model XR dan 7 Plus serta sebuah kereta Axia.

“Ketujuh-tujuh suspek berumur lingkungan 25 hingga 32 tahun dan semakan lanjut mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Mereka direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

“Bagi kesalahan menyamar sebagai polis atau penjawat awam boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan mereka.

“Polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan suspek ini, kami berjaya menyelesaikan kes geng samun yang aktif di daerah ini sekaligus mengurangkan kegusaran masyarakat setempat.

“Polis juga meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah kepada polis supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya,” tegas beliau.- MalaysiaGazette