KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar pelbagai produk cucian untuk isi rumah dan industri, SR Asia Resources Sdn. Bhd. (SR Asia Resources) berjenama Do’zee telah melantik ulama terkenal dari Kedah, Sheikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli sebagai pengerusi baharu syarikat itu.
Pengasas Do’zee, Datuk Mohd. Syukri Ibrahim berkata, pelantikan itu merupakan usaha syarikat menambah keyakinan tinggi kepada pengguna tentang kandungan produk yang digunakan bukan sahaja bebas daripada lemak haiwan dan memiliki sijil halal namun diterajui individu berpengaruh dalam bidang agama.
Jelas beliau, ini kerana sebagai produk muslim bumiputera, Do’zee kini menjadi pilihan utama apabila rangkai produk terjual lebih 70,000 sebulan termasuk produk pewangi rumah dan pencuci lantai.
“Bahan kandungan yang digunakan Do’zee adalah berbeza dengan produk halal lain termasuk ia mesra alam, kecairan struktur yang cantik, memilki empat manfaat dalam satu selain paling utama adalah sijil halal.
“Justeru kami sentiasa akan meningkat keyakinan pengguna bukan sahaja diperbaiki kualiti dari masa ke semasa ke tahap tinggi malam melantik individu berpengalaman dari segi agama.
“Apatah lagi selama beroperasi, sebahagian daripada jualan produk syarikat akan dimasukkan ke tabung kebajikan untuk disedekahkan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan juga masjid,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat baharunya di Wisma Do’zee di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.
Wisma setinggi tiga tingkat bernilai RM5 juta itu turut memiliki restoran yang dikenali sebagai Akarr Cafe bagi memenuhi keperluan komuniti di kawasan tersebut.
Sebelum ini, jenama Do’zee dikenali sebagai Top 5 sebelum ini.
Kini, syarikat itu telah menjual antara 60,000 hingga 70,000 botol sabun Do’zee sebulan dengan sasaran kapasiti pengeluaran mencecah hingga satu juta botol sabun pada masa depan.
Sabun Do’zee dikeluarkan dalam tiga saiz botol iaitu 1.8 kilogram (kg), 4kg dan 10kg dengan setiap saiz memiliki lapan wangian yang dapat memenuhi kehendak pelanggan.
Mengulas perancangan masa depan, Mohd. Syukri memberitahu, SR Asia Resources kini semakin agresif menceburi bidang pemborongan.
Jelas beliau, ini kerana syarikat berhasrat menjadikan cabang perniagaan baharu itu sebagai antara penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat pada masa depan.
Beliau turut mengakui pihaknya sedang membangunkan sebuah pusat pemborongan terbesar di Puncak Alam.
“Dengan perniagaan sedia adanya yang terlibat dengan kantin dan kini sebuah kafe, perniagaan borong tersebut akan melengkapkan dan memudahkan lagi perjalanan operasi niaga untuk jangka masa panjang.
“Apatah lagi saya telah menceburi bidang pemborongan ini sejak tahun lalu secara kecil-kecilan dan memandangkan permintaan sudah ada serta makin bertambah, saya mahu terus aktif dalam segmen ini.
“Ia melibatkan jualan barangan secara pukal bagi barangan basah dan kering kepada peniaga kecil, saya jangkakan segmen ini bakal menyumbang kira-kira 25 peratus kepada perolehan syarikat,” jelasnya.
Sementara itu, Sheikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli berkata, sijil halal yang dimiliki Do’zee akan berupaya meningkatkan keyakinan sehingga 80 peratus termasuk pelanggan dalam kalangan bukan Islam.
Jelas beliau, umat Islam sentiasa berjaga-jaga dengan logo yang digunakan dalam produk pembasuhan apatah lagi penting untuk tujuan beribadah.- MalaysiaGazette