Home Nasional Elak dicekup, PATI patah kaki terjun dari tingkat tiga

Elak dicekup, PATI patah kaki terjun dari tingkat tiga

Salah seorang pekerja asing patah kaki selepas terjun dari tingkat tiga bangunan dalam pembinaan ketika serbuan JIM di Setapak hari ini.- Gambar ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Kehadiran secara mengejut anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke tapak projek pembinaan di Setapak hari ini menyebabkan pekerja asing bertempiaran lari.

Selain melarikan diri, ada juga mengambil risiko menyorok di tepi tingkap bersimen sebuah unit bangunan dalam pembinaan itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Malah ada dalam kalangan mereka terjun dari tingkat tiga bangunan sehingga kakinya patah.

Namun dalam operasi  bersepadu sekitar bermula 12 tengahari itu, sekumpulan besar pekerja asing ditangkap oleh Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semasa serbuan,  salah seorang pekerja warganegara Bangladesh yang sedang bekerja cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkat tiga sebelum kakinya patah.

“Warganegara asing tersebut telah diberi rawatan awal oleh penguat kuasa dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi yang sama, pihaknya dibantu oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain.

Antaranya Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi bersepadu itu juga diselaras oleh Pasukan Tindakan Segera dan diketuai oleh Ketua Unit Operasi, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya melibatkan seramai 98 anggota.

Lebih 269 warga asing berjaya ditahan di tapak binaan di Setapak dalam Operasi Bersepadu Imigresen Putrajaya tengahari ini.Gambar Ihsan: Imigresen Putrajaya

“Operasi telah dijalankan di sebuah tapak projek pembinaan yang terletak di Kampung Wira Jaya, Setapak, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan dan maklumat awal yang disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia tentang penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit atau dokumen yang sah yang membawa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil serbuan di tapak binaan itu, seramai 329 individu telah diperiksa dan seramai 269 orang telah ditahan semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguatkuasa Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, hasil pemeriksaan di lokasi tapak binaan itu juga mendapati para pekerja asing tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, permit dan pas yang sah.

Malah katanya, terdapat juga beberapa pekerja yang menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sediada.

“Justeru penguat kuasa juga berjaya mengesan kesalahan beberapa sub –kontraktor menggunakan pekerja asing yang mempunyai PLKS dari sektor-sektor yang berbeza dan syarikat berlainan dikera bekerja sebagai buruh tapak binaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warganegara asing tinggal di rumah kongsi yang telah disediakan di parkir lot bangunan tersebut,” katanya.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Lebih 269 warga asing berjaya ditahan di tapak binaan di Setapak dalam Operasi Bersepadu Imigresen Putrajaya tengahari ini.Gambar Ihsan: Imigresen Putrajaya

Tegas Khairul Dzaimee, pasukan JTK juga melaporkan terdapat kesalahan di bawah bidang kuasa mereka yang dijumpai di lokasi pemeriksaan antaranya termasuk tempat penginapan pekerja yang telah disediakan melanggar ketetapan Akta 446 Sumber Manusia yang dikehendaki kerajaan.

Menurut beliau, kesemua tahanan itu akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) & PKD Seremban 2 untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu,” katanya.

JIM amat memandang serius dan akan mengenakan tindakan yang setimpal terhadap pemilik dan majikan yang mengajikan warganegara asing tanpa dokumen dan PLKS yang sah serta dengan sengaja memberi perlindungan pada pekerja asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).- MalaysiaGazette