LUSAKA – Sebuah pesawat kargo Ethiopian Airlines yang terbang ke Zambia secara tidak sengaja mendarat di sebuah lapangan terbang yang masih dalam pembinaan, kata seorang pegawai kerajaan.
Pesawat tersebut mendarat di lapangan terbang yang belum siap di wilayah Copperbelt pada Ahad lalu.
Kini wilayah tersebut menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Mwansa Kapwepwe yang terletak jira-kira 15 kilometer daripada lapangan terbang baharu itu.
Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Misheck Lungu berkata, juruterbang mendaratkan pesawat di lapangan terbang Copperbely kerana ‘kesilapan’.
“Apabila dia hendak mendarat dia berkomunikasi dengan radar dan mereka memberitahunya: ‘Kami tidak nampak anda’.
“Oleh itu, dia (juruterbang) menggunakan penglihatannya apabila dia tidak mempunyai kawalan dan mendarat di subuah lapangan terbang yang sedang dibina,” katanya.
Lungu menambah, tiada laporan kerosakan dilaporkan dan para penyiasat berkata siasatan akan mengeluarkan ‘laporan komprehensif’ mengenai insiden tersebut.
Ethiopian Airlines tidak mengulas mengenai insiden tersebut.
Pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Copperbely yang dibina oleh syarikat China dijadualkan pada pertengahan 2020 namun ia dilewatkan berikutan pandemik koronavirus. – MalaysiaGazette