Home Nasional Polis tambah SJR kawal orang balik kampung sambut Ramadan

Polis tambah SJR kawal orang balik kampung sambut Ramadan

Zainal Abidin Kasim.

JAWI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) khususnya di sempadan negeri serta jalan tikus bagi mengelakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Ramadan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan sekali gus memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Katanya, tiada lagi nasihat akan diberikan terhadap mereka yang cuba rentas negeri tanpa alasan yang kukuh, sebaliknya pihak polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Semua sedia maklum umat Islam akan mula berpuasa pada 13 April ini dan mungkin banyak pergerakan rentas negeri akan berlaku kerana sudah menjadi budaya orang kita nak sambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

“Jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku termasuk sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19 kita akan perbanyakkan serta ketatkan kawalan di SJR serta lorong tikus.

“Saya pesan kepada anggota sudah cukup kita beri nasihat selama ini dan ambil tindakan. Ini kerana jumlah kes Covid-19 sepatutnya berkurangan tetapi kini timbul kluster-kluster baru ekoran pergerakan rentas negeri,” katanya.

Pengarah JPJKK, Datuk Zainal Abidin Kasim (dua dari kanan) berbual bersama dua anggota dua URB yang dinaikkan pangkat sarjan sambil diperhatikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (dua dari kiri) di Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan kepada dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang berjaya menahan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa pada 25 Februari lalu.

Mengulas mengenai arahan yang meminta individu rentas negeri sertakan jadual perjalanan serta aktiviti, Zainal Abidin menegaskan arahan itu bukan daripada pengurusan tertinggi PDRM.

“Kita tak minta sampai level tu (jadual aktiviti) cuma kalau rentas negeri sampai seminggu kita nak tahu juga alasan munasabah untuk tujuan tersebut.

“Secara dasarnya semua orang dinasihatkan kawal pergerakan agar kita dapat balik raya,” ujar beliau.

Tambah Zainal, setakat ini sebanyak 35 SJR dilakukan dalam negara. – MalaysiaGazette