KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkut an (MOT) membuat laporan polis terhadap blog Sabahkini2, susulan satu artikel blog itu yang mengaitkan Ketua Setiausahanya membuat rundingan terus, bagi projek di bawah kementerian.
Menurut kenyataan hari ini MOT yang menepis fitnah yang dilemparkan blog berkenaan, turut memaklumkan kementerian itu akan mendapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan selanjutnya.
Bagi menepis dakwaan artikel itu, MOT menjelaskan Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab meluluskan perolehan secara rundingan terus, bukannya kementerian pelaksana.
“Kesemua petender tidak mencapai markah lulus bagi penilaian kewangan dan teknikal, kerana tidak mencapai kriteria-kriteria yang ditetapkan di dalam dokumen tender,” menurut kenyataan itu.
Oleh itu MOT menyatakan, kerajaan mencadangkan proses secara rundingan terus kerana tiada petender yang lulus, memandangkan proses tender semula akan mengambil masa serta kesukaran mendapat syarikat yang berdaftar di bawah kategori pembuatan tren.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan blog Sabahkini2 pada 1 April lepas bertajuk, “Dulu di MOTAC disiasat SPRM, kini di MOT KSU buat ‘Runding Terus KTMB’ untuk kroni?”.
— BERNAMA