BESTARI JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa membuka kertas siasatan terhadap laporan mengenai dua syarikat yang baru dua bulan ditubuhkan sudah diberi kepercayaan menerima pajakan tanah sehingga 21 tahun.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau akan menghubungi agensi itu bagi menghalang syarikat terbabit mengambil alih tanah yang diusahakan peneroka sejak 40 tahun lalu.
“Saya akan buat susulan dengan SPRM, saya tahu peneroka telah hantar laporan kepada SPRM pada 19 November 2019 dan sampai sekarang belum ada apa-apa maklum balas.
“Kita minta SPRM terus mengambil tindakan, kalau dapat terus siasat bagaimana syarikat dua bulan ditubuh boleh dapat tanah.
“Kita minta supaya SPRM ambil tindakan, berikan keutamaan menangani isu rakyat,” katanya pada sidang media di Ladang Tennamaram, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar berdialog dengan generasi ketiga peneroka Ladang Tennamaram.
Antara lain 400 peneroka terbabit berdepan tindakan diusir selepas tanah rizab Kerajaan Negeri Selangor seluas 1,942 hektar dipajakkan kepada dua syarikat swasta yang dimiliki oleh beberapa individu sama.
Dalam pada itu, Noh mendesak Kerajaan Negeri Selangor menarik balik kebenaran pajakan tanah terbabit dan kembali ke meja rundingan bersama para peneroka.
“Saya takut jadi kecoh, jangan sampai jadi kecoh.
“Syarikat ini boleh tindas semua rakyat, ada kong kali kong kat belakang, ada kira-kira kah?
“Dulu masa BN memerintah, mereka kata BN kerajaan rasuah, sekarang kita mahu tengok kenapa perkara ini berlaku,” katanya.
Noh juga memberi amaran kepada Menteri Besar Selangor agar tidak melakukan penindasan sama kepada peneroka, sama seperti yang berlaku kepada penjaja dan peniaga kecil di Puchong dan Sungai Buloh sebelum ini.
“Menteri Selangor ini, dia suka kacau orang di Puchong, semua gerai dia mahu runtuh, orang nak cari makan dia kasi runtuh, Sungai Buloh pun dia kasi runtuh.
“Ini dia mahu kacau saya punya kawasan, ini kawasan Parlimen Tanjung Karang, kalau lain tempat saya boleh ke depan, ini Tanjung Karang saya mesti ke depan mempertahankan Tuan-tuan dan Puan-puan,” katanya. – MalaysiaGazette